
KERAJAAN perlu meneliti semula undang-undang lama yang masih berkuat kuasa bagi memastikan peruntukannya sesuai dengan perkembangan semasa.
Perhatian khusus wajar diberikan kepada undang-undang yang boleh menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara, menyampaikan pendapat dan mengemukakan kritikan membina.
Antaranya ialah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang diperkenalkan ketika zaman penjajahan British. Undang-undang ini pada asalnya dirangka untuk menangani keadaan politik dan ancaman keselamatan ketika itu, termasuk gerakan komunis.
Namun, landskap negara banyak berubah sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963. Oleh itu, kerelevanan akta berkenaan perlu dinilai semula berdasarkan keperluan masyarakat hari ini.
Kebebasan bersuara merupakan antara hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, yang turut memperuntukkan hak untuk berhimpun dan berpersatuan.
Kebebasan ini menjadi asas penting dalam sistem demokrasi kerana membolehkan rakyat menyuarakan pandangan, menegur kelemahan pentadbiran serta menyumbang kepada penambahbaikan negara.
Walaupun kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak dan tertakluk kepada batas undang-undang, kawalan yang dikenakan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat takut untuk menyampaikan pandangan secara bertanggungjawab.
Kerajaan perlu memastikan peruntukan sedia ada tidak disalahgunakan sehingga menyekat kritikan yang membina.
Laporan tahunan Amnesty International turut membangkitkan kebimbangan mengenai kelemahan usaha kerajaan dalam memperbaiki undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara.
Sehubungan itu, komitmen terhadap hak asasi manusia perlu disertai kesediaan bekerjasama dengan masyarakat sivil bagi memastikan dasar dan amalan negara selaras dengan prinsip berkenaan.
Justeru, kerajaan wajar mempertimbangkan pindaan atau penggantian Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baharu yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.
Penambahbaikan itu perlu mengimbangi hak rakyat untuk bersuara dengan keperluan melindungi keharmonian, sensitiviti dan kemajmukan masyarakat.
Undang-undang yang lebih seimbang bukan sahaja dapat menjamin kebebasan individu, malah membolehkan rakyat memberikan teguran tanpa rasa takut terhadap tindakan yang tidak wajar. Pada masa sama, kepentingan negara dan ketenteraman masyarakat terus dilindungi. –UTUSAN
DR MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya,
Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
The post Akta Hasutan 1948 perlu dikaji semula appeared first on Utusan Malaysia.






