Mantan PM Datuk Seri Ismail Sabri Lulus Viva PhD Pada Usia 65 Tahun

LocalPolitics
16 Dec 2025 • 2:50 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Masih tak terlambat untuk mereka yang mempunyai impian untuk mendapatkan gelaran doktor falsafah kerana lihatlah mantan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kembali ke kampus dan bakal mendapat gelaran doktor ini pada usia 65 tahun.

Dalam satu perkongsiannya di Facebook, Ismail mendedahkan bahawa beliau kini selangkah lagi dengan gelaran doktor apabila berjaya melepasi sesi viva voce bagi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan hanya pindaan kecil.

Ternyata kajian yang dibentangkan Ahli Parlimen Bera ini bukan sekadar di atas kertas kerana ia adalah realiti mengenai zaman pandemik COVID-19 yang pernah dilalui negara ketika mantan Perdana Menteri itu menerajui kerajaan.

Alhamdulillah, pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) saya telah sampai ke peringkat akhir.

“Hari ini, saya membentangkan viva saya bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan: Strategi Malaysia Hadapi COVID-19 di Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia.

“Sesi viva berjalan dengan lancar dan Alhamdulillah, saya telah lulus viva untuk PhD,” tulisnya.

Pada masa yang sama, Ismail juga mengucapkan terima kasih kepada para panel dan pemeriksa serta kepada warga UUM, sahabat dan ahli keluarganya dalam menjadi pendorong kepada kejayaan lulus ke peringkat akhir PhD.

Posting berkenaan menerima pelbagai komen positif netizen yang memuji keazaman mantan Perdana Menteri itu dalam menimba ilmu hingga ke peringkat PhD.

Terbaik Datuk. Inspirasi kepada anak muda. 

“Pembelajaran sepanjang hayat. Contoh dan tauladan terbaik,” komen netizen.

Sumber: Sinarplus, FB Ismail Sabri Yaakob

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.