
Mengangkat tema dendam, pengkhianatan dan ilmu hitam sebagai tunjang penceritaan, filem seram Thailand, Confessions of a Shaman membawa naratif bahawa manusia sebenarnya lebih menakutkan daripada makhluk ghaib. Pengarahnya, Nathanon Cholumpi berkata, filem berdurasi 126 minit itu bukan sekadar kisah pertarungan manusia dengan hantu, sebaliknya menyelami sisi gelap kehidupan manusia yang mampu berubah akibat penderitaan dan dendam. Menurutnya, elemen seram dalam karya berkenaan dibina menerusi konflik kemanusiaan, khususnya tindakan seseorang yang sanggup menyakiti orang lain sehingga mendorong mangsa memilih jalan balas dendam. “Pada saya, hantu dalam filem ini bukan watak jahat kerana kebanyakannya juga pernah menjadi mangsa ketidakadilan. Perkara yang benar-benar menakutkan ialah manusia yang sanggup menyakiti orang lain serta dendam yang mampu mengubah seseorang sepenuhnya,” katanya. Filem itu mengisahkan Tor lakonan Alek Teeradetch Metavarayuth, seorang sami muda yang kehidupannya musnah selepas berdepan pelbagai tragedi, termasuk kematian ibunya serta menjadi mangsa kekejaman seorang individu berpengaruh. Gagal memperoleh pembelaan melalui saluran undang-undang, Tor akhirnya mengambil keputusan meninggalkan kehidupan sebagai sami sebelum berguru dengan Mor Tian, seorang bomoh berpengaruh lakonan Shahkrit Yamnarm. Keputusan itu membawa Tor menyelami dunia ilmu hitam dan amalan membangkitkan hong phrai, iaitu roh pendamping yang digunakan untuk membalas dendam terhadap mereka yang pernah menzaliminya. Namun, semakin jauh dia mendalami ilmu berkenaan, semakin besar harga yang perlu dibayar apabila rahsia di sebalik amalan tersebut mula terbongkar. Nathanon berkata, pihak produksi berusaha mengekalkan inti pati cerita asal yang dipetik daripada kisah popular The Ghost Radio, selain memperincikan latar belakang serta perkembangan setiap watak bagi membolehkan penonton memahami sebab di sebalik tindakan mereka. Beliau turut menyifatkan karya berkenaan sebagai filem seram psikologi yang mengekalkan elemen supernatural dalam lingkungan realiti. Dari sudut pembikinan, Nathanon memberi penekanan kepada penggunaan kesan praktikal dan kesan khas bagi memastikan penampilan makhluk ghaib kelihatan lebih nyata, manakala teknologi imejan janaan komputer (CG) digunakan apabila diperlukan. Sementara itu, Alek mengakui watak Tor antara cabaran terbesar sepanjang kerjaya lakonannya kerana perlu memperlihatkan perubahan emosi daripada seorang lelaki biasa kepada individu yang semakin tenggelam dalam dunia ilmu hitam. Katanya, Tor pada asalnya tidak mengimpikan kekayaan atau kuasa, sebaliknya hanya mahukan kehidupan stabil, kasih sayang dan penerimaan masyarakat. Bagaimanapun, pengalaman kehilangan, penghinaan dan ketidakadilan yang dilalui akhirnya mendorongnya membuat pilihan yang mengubah seluruh kehidupannya. Alek turut menyifatkan babak bersama ibunya sebagai antara adegan paling mencabar kerana hubungan itu menjadi satu-satunya tempat Tor bergantung harapan. Selain Alek dan Shahkrit, filem berkenaan turut menampilkan Denise Jelilcha Kapaun sebagai Mali, Am Amarin Nitibhon dan Boom Ranya Siyanont, selain kemunculan khas BamBam daripada kumpulan K-pop GOT7. Diadaptasi daripada kisah seram popular yang mencatatkan lebih lapan juta tontonan menerusi The Ghost Radio, Confessions of a Shaman bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 November ini. Menerusi naskhah berkenaan, penonton diajak menilai sejauh mana dendam mampu mengubah manusia serta harga yang terpaksa dibayar apabila seseorang memilih jalan kegelapan.

