Manuskrip Sultan Tengah berusia lebih 400 tahun ditemui, dicalon untuk diiktiraf UNESCO

12 Jun 2026 • 2:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Manuskrip Sultan Tengah berusia lebih 400 tahun ditemui, dicalon untuk diiktiraf UNESCO
Abdul Karim menunjukkan manuskrip Sultan Tengah berusia lebih 400 tahun yang ditemui di Sarawak.

KUCHING - Sebuah manuskrip bertulisan jawi klasik berusia lebih 400 tahun dipercayai ditulis sendiri sultan pertama Sarawak, Sultan Tengah, berjaya ditemui dan kini dalam proses untuk diwartakan sebagai Warisan Sarawak.

Malah, naskah setebal 179 halaman itu turut dicalonkan bagi mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, manuskrip berjudul 'Pengembaraan Sri Sultan dan Sultan Tengah ke Sebuah Gunung' itu merupakan penemuan yang amat bernilai kerana ia dipercayai ditulis sendiri Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar Shah Ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan, tokoh penting dalam sejarah Sarawak dan Kesultanan Brunei.

"Manuskrip setebal 179 halaman ini menjadi sumber primer paling penting dalam usaha merekonstruksi sejarah, pemikiran, falsafah serta perjalanan hidup Sultan Tengah.

"Secara ringkas, manuskrip ini menceritakan secara langsung pengalaman naik turun Sultan Tengah di samping watak-watak di sekelilingnya ketika itu. Kalau kita lihat secara mendalam, manuskrip ini juga boleh dilihat sebagai diari peribadinya sendiri.

"Ini adalah salah satu manuskrip yang paling tua yang pernah ditemui (di Sarawak). Di Semenanjung Malaysia kita ada tokoh-tokoh yang menulis manuskrip, tetapi di Sarawak saya belum pernah melihat manuskrip yang begitu komprehensif sehingga mencecah 179 muka surat," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bilangan 1/2026 di sini, pada Khamis.

Katanya lagi, manuskrip itu turut memberi gambaran lebih jelas mengenai kehidupan Sultan Tengah yang sebelum ini lebih banyak diketahui melalui catatan sejarah ringkas, termasuk mengenai makam baginda di Santubong.

"Banyak yang kita tahu ialah itu makam Sultan Tengah, tetapi kita tidak begitu tahu tentang sejarah perjalanan ceritanya. Kita hanya melihat beliau datang daripada Sambas, Johor, Santubong lalu dibunuh dan dimakamkan di sana (Santubong).

"Tetapi sejarah perjalanan hidup dan biografi beliau dapat dilihat apabila kita membaca manuskrip ini yang juga sudah dibuat terjemahannya. Ia membuka jalan untuk penyelidikan lanjut mengenai Sultan Tengah," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, manuskrip itu juga berpotensi untuk dicalonkan bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO.

Selain mengandungi 179 halaman, manuskrip yang ditemui itu berukuran 23.4 sentimeter tinggi, 19 sentimeter lebar dan 4.2 sentimeter tebal, dengan setiap halaman mengandungi kira-kira 17 baris teks.

Untuk rekod, pada 2021, satu pasukan penyelidik daripada Jabatan Muzium Sarawak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menjalankan kajian lanjut terhadap manuskrip bersejarah berkaitan pemerintahan baginda.

Menjelang 2022, manuskrip itu berjaya diterjemahkan sepenuhnya oleh penyelidik Jabatan Muzium Sarawak dengan bantuan penyelidik daripada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di bawah penyeliaan dan pengesahan pakar manuskrip UiTM Cawangan Sarawak.

Ketika ini, penyelidik Jabatan Muzium Sarawak dan UiTM Cawangan Sarawak sedang menjalankan analisis kandungan secara terperinci terhadap hasil transliterasi manuskrip

Manuskrip yang ditulis dalam tulisan jawi klasik abad ke-16 menggunakan bahasa istana Brunei lama itu sekali gus membuka ruang penyelidikan baharu dalam bidang sejarah, filologi dan warisan Melayu Nusantara.

Lebih membanggakan, penemuan itu turut membuka peluang untuk manuskrip berkenaan dicalonkan di bawah program UNESCO Memory of the World, sekali gus mengangkat nama Sarawak di peringkat antarabangsa.