Mapim perkenal sistem pantau badal haji, badal umrah berteknologi tinggi

LocalTechnology
17 Mar 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Azmi (dua dari kanan) menukar MoU bersama MSWC di Pejabat Mapim, Bukit Jelutong pada Selasa.
image is not available
Mohd Azmi bergambar beramai-ramai selepas Majlis Menandatangani MoU di Pejabat Mapim, Bukit Jelutong pada Selasa.

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memperkenalkan sistem pengurusan badal haji dan badal umrah berteknologi tinggi bagi meningkatkan ketelusan serta kecekapan pelaksanaan ibadah tersebut.

Inisiatif strategik itu dilaksanakan melalui kerjasama Mapim dengan Muslim Smart Wearable Company (MSWC) menggunakan M2 Muslim Smartwatch dan disokong platform digital Road2Haramain sebagai ekosistem pendigitalan haji dan umrah.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendekatan berasaskan teknologi dilihat berupaya meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap pelaksanaan ibadah berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan badal haji merupakan satu bentuk tanggungjawab fardu kifayah dalam membantu umat Islam yang tidak berkemampuan menunaikan ibadah tersebut.

"Semasa menghadiri persidangan haji di Arab Saudi, saya melihat badal haji dan badal umrah boleh menjadi alternatif penting bagi membantu waris kepada mereka telah meninggal dunia atau individu uzur untuk menunaikan kewajipan ibadah tersebut

"Peningkatan kos menunaikan haji pada masa kini menjadikan pengurusan badal haji yang tersusun, telus dan dipercayai semakin penting," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pejabat Mapim, Bukit Jelutong pada Selasa.

Justeru, Mohd Azm berkata, Mapim turut mencadangkan pendekatan baharu dengan memperkenalkan Tabung Badal Haji dan Tabung Badal Umrah yang membolehkan ibadah tersebut dilaksanakan secara lebih terancang dan telus.

**media[3466203]**

Menurut Pengasas Road2Haramain dan Ketua Pendigitilan di MobilityOne Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahim Abdullah, transformasi digital itu memudahkan urusan umat Islam melaksanakan badal bagi pihak ahli keluarga.

"Penggunaan teknologi digital dan integrasi pembayaran melalui kerjasama dengan MobilityOne Limited membantu membangunkan ekosistem pengurusan ibadah yang lebih moden, selamat dan cekap.

“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Saudi Vision 2030 yang menekankan pendigitalan sektor pelancongan termasuk haji dan umrah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MSWC Malaysia, Prof Adjunct Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, penggunaan teknologi tersebut merupakan langkah penting dalam membawa inovasi ke dalam pengurusan ibadah umat Islam.

Menurut beliau, teknologi wearable digunakan oleh M2 membolehkan sistem pengesanan dan pengesahan ibadah Badal Haji dan Badal Umrah dilakukan secara digital melalui sistem Track & Trace Ibadah.

“Melalui integrasi teknologi M2 Muslim Smartwatch, setiap pelaksanaan ibadah badal boleh direkodkan secara selamat dan telus, dengan data disahkan secara serentak di dalam jam pintar, telefon mudah alih serta sistem storan awan," ujarnya lagi.

Beliau menambah setiap pelaksanaan ibadah yang direkodkan melalui sistem ini akan disertakan dengan pensijilan digital oleh Muslim Smart Wearable Company (MSWC) sebagai bukti pengesahan pelaksanaan ibadah tersebut.