Mapim serah memorandum bantah perang, gesa lindungi Gaza, Al-Aqsa

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 5:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Azmi bercakap kepada pemberita ketika perhimpunan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mewakili 55 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menyuarakan bantahan terhadap konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Memorandum bertajuk Stop the War Coalition Memorandum: Gaza, Al Aqsa, Iran and the Collapse of International Law itu diserahkan sebagai suara bersama masyarakat yang menuntut penamatan peperangan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan aman yang diadakan di kawasan jalan utama menuju Kedutaan Amerika bertujuan menyampaikan suara hati masyarakat yang menolak peperangan dan keganasan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.

Beliau menegaskan kemusnahan berterusan di Gaza, ketegangan ketenteraan dengan Iran serta serangan terhadap orang awam menunjukkan hakisan berbahaya terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

“Di seluruh rantau ini, orang awam terpaksa menanggung kesan perebutan kuasa geopolitik,” katanya dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak di sini pada Jumaat.

Menurutnya, organisasi hak asasi manusia memberi amaran bahawa serangan terhadap hospital, sekolah dan kawasan perumahan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang melindungi orang awam ketika perang.

Memorandum itu turut memetik kenyataan Amnesty International UK bahawa dunia tidak boleh berdiam diri ketika peraturan yang mengawal keamanan dan keselamatan antarabangsa semakin dilemahkan.

Dalam memorandum berkenaan, Mapim bersama beberapa organisasi lain mengemukakan enam tuntutan utama kepada masyarakat antarabangsa.

"Tuntutan pertama ialah menghentikan semua tindakan yang mengancam kesucian dan status Masjid Al-Aqsa, yang dianggap amanah suci umat Islam dan simbol kebebasan beragama serta maruah kemanusiaan," ujarnya.

Mohd Azmi menegaskan, status quo sejarah kompleks Al-Aqsa perlu dilindungi sepenuhnya dan memastikan akses tanpa sekatan kepada jemaah Islam untuk beribadah.

"Tuntutan kedua menuntut penamatan segera konflik di Gaza, yang dianggap antara krisis kemanusiaan paling teruk masa kini, menyebabkan jutaan penduduk awam berdepan keadaan hidup sukar," ujarnya lagi.

Memorandum itu menegaskan gencatan senjata segera dan kekal di Gaza serta membenarkan akses bantuan kemanusiaan sepenuhnya bagi makanan, air dan bantuan perubatan.

Ia juga menuntut perlindungan hospital, sekolah dan pusat perlindungan pelarian serta pertanggungjawaban terhadap semua pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Tuntutan seterusnya menegaskan agar sokongan terhadap peluasan penempatan haram dan keganasan di Tebing Barat dihentikan serta memastikan pengusiran paksa dan serbuan ketenteraan terhadap komuniti awam dibatalkan," tambahnya.

Mohd Azmi menekankan pencerobohan ketenteraan terhadap Iran juga mesti dihentikan bagi mengelakkan konflik lebih besar di rantau berkenaan.

Beliau berkata, campur tangan ketenteraan yang menyalahi undang-undang boleh menggugat kestabilan serantau dan meningkatkan risiko kemudaratan kepada orang awam.

Memorandum itu menolak sebarang usaha menukar rejim melalui peperangan atau campur tangan luar kerana sejarah menunjukkan ia membawa kepada konflik berpanjangan dan bencana kemanusiaan.

Mohd Azmi menyeru agar rantau Asia Barat tidak terus dijadikan kawasan persenjataan dan menekankan peralihan daripada pendekatan ketenteraan kepada diplomasi, dialog dan penyelesaian konflik secara aman.

Beliau menegaskan, peperangan berasaskan dominasi dan kuasa unilateral jarang membawa kestabilan, sebaliknya mewujudkan kitaran tindak balas dan rasa tidak puas hati.

Memorandum itu menyeru dunia menghentikan ancaman terhadap Al-Aqsa, pembunuhan beramai-ramai di Gaza, pencerobohan terhadap Iran serta menghormati undang-undang antarabangsa.

“Rakyat Gaza, orang awam yang terkesan serta masyarakat global berhak mendapat keamanan, keadilan dan maruah,” ujarnya.

Memorandum itu disokong 55 organisasi termasuk Mapim, Alliance of World Mosque in Defence of Al Aqsa, Secretariat for the Ulama Assembly of Asia, SEJAGAT, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan beberapa pertubuhan lain.