
WASHINGTON: Aplikasi pemetaan dalam talian perintis, MapQuest kini melonjak menjadi alat navigasi paling popular di Amerika Syarikat (AS) selepas secara terbuka enggan mematuhi arahan Pentadbiran Presiden, Donald Trump untuk menukar nama Tasik Ontario.
Tindakan berani MapQuest yang menolak Perintah Eksekutif Trump pada 27 Ogos lalu yang mengarahkan agensi persekutuan menukar nama tasik berkenaan kepada Tasik Amerika susulan pertikaian perdagangan dengan Kanada telah melonjakkan muat turun aplikasi tersebut hingga mengatasi gergasi teknologi Google Maps dan Apple Maps.
Aplikasi berusia 30 tahun yang menggelarkan dirinya sebagai pemula era pemetaan internet itu berjaya menakluki tangga pertama dalam carta muat turun App Store Apple di AS, selain menjadi aplikasi paling popular di Kanada.
Sejurus perintah tersebut dikeluarkan, Google dilihat akur dengan kehendak Rumah Putih dengan memaparkan nama Tasik Amerika bagi pengguna di AS, manakala Apple masih mempertimbangkan keputusan tersebut di bawah tekanan pentadbiran Trump.
Pengurus Besar MapQuest, Doug Berger memaklumkan kadar penggunaan aplikasi mereka melonjak sehingga 50 kali ganda daripada kadar biasa.
“Kami mengambil pendekatan yang sama seperti insiden Teluk Mexico sebelum ini, menjadi sebahagian daripada perbualan awam dan menyediakan aplikasi yang mengekalkan nama yang sudah biasa digunakan oleh orang ramai.
“Ratusan ribu pengguna memberi isyarat sokongan kepada kami minggu ini dengan memuat turun aplikasi MapQuest,” kata Berger.
Menerusi tinjauan pendapat terbaharu Reuters/Ipsos, usaha Trump menukar nama tasik berkenaan hanya mendapat sokongan 14 peratus rakyat AS, manakala sebahagian besar penunjuk perasaan dan pengguna internet memuji langkah terpencil MapQuest yang memilih untuk mempertahankan nama asal tasik bersejarah berkenaan.
Lanjutan daripada isu berkenaan, Apple Maps dilaporkan masih mengekalkan nama Tasik Ontario yang merentasi sempadan AS-Kanada itu pada pagi Selasa.
Tindakan tersebut diteruskan meskipun Setiausaha Dalam Negeri AS, Doug Burgum menyatakan keyakinannya pada Isnin platform berkenaan bakal menukar nama tersebut kepada Tasik Amerika selepas menerima hubungan terus daripada Trump.
Sementara itu, Google mengambil pendekatan dwistandard apabila menukar nama tersebut kepada Tasik Amerika khusus bagi pengguna di AS sahaja.
Bagi pengguna di seluruh dunia, paparan kekal sebagai Tasik Ontario, nama sejarah yang telah digunakan sejak kira-kira 400 tahun lalu.
The post MapQuest makin popular selepas ingkar arahan Trump tukar nama Tasik Ontario appeared first on Utusan Malaysia.


