
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menghubungi Apple secara langsung bagi meminta syarikat teknologi itu menukar nama Tasik Ontario kepada Tasik Amerika pada peta digitalnya, kata Setiausaha Dalam Negeri AS, Doug Burgum, semalam.
Burgum berkata, Trump menghubungi Apple berhubung perkara itu dan perubahan nama berkenaan dijangka dibuat tidak lama lagi.
“Presiden menghubungi Apple secara langsung, jadi saya yakin perubahan itu mungkin akan dibuat tidak lama lagi,” katanya kepada Fox Business.
Apple bagaimanapun belum mengulas kenyataan Burgum itu.
Langkah berkenaan susulan perintah eksekutif yang ditandatangani Trump pada 27 Ogos bagi mengarahkan agensi kerajaan persekutuan AS menggunakan nama Tasik Amerika secara rasmi bagi tasik yang dikongsi New York dan wilayah Ontario, Kanada.
Pertikaian mengenai nama tasik itu berlaku ketika hubungan perdagangan AS-Kanada semakin tegang, susulan Washington mengenakan tarif 50 peratus terhadap beberapa barangan utama dari Kanada.
Google sebelum ini mengemas kini perkhidmatan Maps dengan memaparkan nama Tasik Amerika kepada pengguna di AS, manakala pengguna di Kanada masih melihat nama Tasik Ontario.
Pengguna di luar kedua-dua negara pula akan melihat kedua-dua nama berkenaan sebagai Tasik Ontario.
Pada Januari 2025, tidak lama selepas kembali ke Rumah Putih bagi penggal kedua, Trump turut mengarahkan Teluk Mexico dinamakan semula sebagai Teluk Amerika untuk kegunaan rasmi kerajaan persekutuan AS.
Google Maps kemudiannya menggunakan nama Teluk Amerika bagi pengguna di AS, manakala pengguna di Mexico terus melihat nama Teluk Mexico.
Pengguna di negara lain pula dipaparkan kedua-dua nama tersebut.- ANADOLU
The post Trump mahu Apple tukar nama Tasik Ontario kepada Tasik Amerika appeared first on Utusan Malaysia.




