Maqis rampas mangga tiada permit dari Bangladesh

26 Jul 2023 • 5:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEPANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 130 kilogram (kg) mangga dari Bangladesh kerana tidak mempunyai permit sah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Isnin lepas.

Maqis dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mangga yang dibawa masuk oleh dua warga Bangladesh dan bernilai kira-kira RM700 itu tidak mempunyai sijil Import Permit dan sijil Fitosanitasi.

“Kesemua mangga itu ditahan dan dilupuskan,” menurut kenyataan itu.

Maqis menjelaskan rampasan mangga berkenaan bertujuan mengawal kemasukan perosak dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian, dan boleh menyebabkan kerajaan menanggung kerugian tinggi.

Membawa masuk buah mangga tanpa permit sah daripada MAQIS ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Maqis memberitahu pihaknya sentiasa bersedia ketika melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan demi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan. -Bernama