
PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bercadang menamakan salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sempena nama pengasas dan pencetus idea institusi itu iaitu Allahyarham Abdul Wahab Alwi.
Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, jasa Allahyarham Abdul Wahab terlalu besar kepada lebih 300,000 bekas pelajar yang pernah menimba ilmu di MRSM.
“Saya akan mencadangkan kepada YAB Menteri KKDW agar menamakan salah sebuah MRSM atas nama pengasas dan pencetus idea MRSM Almarhum Abdul Wahab Alwi yang terlalu banyak jasanya kepada lebih 300,000 bekas pelajar MRSM,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Abdul Wahab, 84, meninggal dunia pada pukul 3 pagi.
Berita pemergian Abdul Wahab, yang juga dikenali sebagai ‘Bapa MRSM’ dikongsikan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) menerusi hantaran Instagram semalam.
Ansara turut memaklumkan jenazah Allahyarham disolatkan pada 11 pagi semalam di Masjid Raja Bendahara Tengku Bandar Shah, Denai Alam, Shah Alam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina. – KOSMO! ONLINE
The post Mara cadang MRSM dinamakan sempena pengasas Abdul Wahab Alwi appeared first on Kosmo Digital.






