
KUALA LUMPUR: Tokoh pendidikan dan pengasas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Abdul Wahab Alwi yang dikenali sebagai ‘Bapa MRSM’, meninggal dunia pada pukul 3 pagi tadi pada usia 84 tahun.
Pemergian Allahyarham yang banyak berjasa dalam pembangunan pendidikan anak bangsa itu dikongsikan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) menerusi hantaran di Instagram hari ini.
Ansara menyifatkan pemergian Abdul Wahab sebagai kehilangan seorang tokoh yang membantu mencetuskan peluang pendidikan serta membina laluan untuk generasi demi generasi anak Malaysia.
“Daripada gagasan yang beliau bantu lahirkan, MRSM telah melahirkan ribuan alumni yang kini berbakti dalam pelbagai bidang -kerajaan, keselamatan, perubatan, kejuruteraan, akademik, perniagaan, profesional serta masyarakat.
“Mungkin tidak semua daripada kita pernah bertemu atau mengenali Allahyarham, namun kita semua adalah antara mereka yang pernah melalui pintu peluang yang beliau bantu buka,” katanya.
Menurut ANSARA, jenazah Allahyarham disolatkan pada pukul 11 pagi tadi di Masjid Raja Bendahara Tengku Bandar Shah, Denai Alam, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan menerima segala jasa serta amal jariah beliau kepada agama, bangsa dan negara,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Beliau menyifatkan Abdul Wahab yang juga bekas Pengarah Bahagian Latihan Mara sebagai antara individu penting yang mencetuskan idea serta penubuhan MRSM.
“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membuka jalan pendidikan serta membina masa depan anak bangsa akan terus terpahat dan dikenang. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – UTUSAN
The post Pengasas MRSM meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.






