'Mara Lasak 2.0 ujian sebenar jati diri, setiakawan' - Fadzli

5 Apr 2026 • 2:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peserta daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang antara pemenang dalam acara Mara Lasak Pahang 2.0.
image is not available
Fadzli (depan, tiga dari kiri) turut mengambil bahagian dalam Mara Lasak Pahang 2.0 yang diadakan di Felda Chini pada Ahad.
image is not available
Tengku Hassanal berkenaan bergambar dengan semua peserta Mara Lasak Pahang 2.0 di Felda Chini pada Ahad

PEKAN – Penganjuran Mara Lasak Pahang 2.0 di Felda Chini di sini pada Ahad bukan sekadar acara larian, sebaliknya menjadi medan menguji ketahanan fizikal, mental serta semangat setiakawan dalam kalangan peserta.

Acara anjuran Majlis Rekreasi Pahang itu menghimpunkan kira-kira 1,050 peserta daripada 105 pasukan dari seluruh negeri, sekali gus menjadikannya antara program rekreasi lasak yang mendapat sambutan luar biasa.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keunikan acara itu terletak pada syarat yang mewajibkan setiap pasukan bermula dan menamatkan cabaran secara bersama.

“Mara Lasak ini adalah ujian jati diri dan prinsipnya jelas, kalau anda bermula dengan 10 orang, anda mesti tamat dengan 10 orang.

“Ia bukan tentang siapa paling laju secara individu, tetapi tentang siapa yang paling setia memastikan rakan sepasukan tidak tertinggal,” katanya ketika sidang akhbar selepas berakhirnya Mara Lasak Pahang 2.0 di Padang Awam Felda Chini 1 di sini pada Ahad.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

**media[3482401]**

Fadzli memberitahu, laluan sejauh kira-kira 15 kilometer yang merentasi denai hutan, bukit curam serta kawasan berpaya menjadikan acara tersebut antara cabaran rekreasi paling mencabar pernah dianjurkan di negeri ini.

Jelasnya, trek berkenaan bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah memerlukan persediaan latihan rapi serta disiplin tinggi bagi memastikan setiap pasukan mampu menamatkan cabaran bersama.

“Mara Lasak ini memang lasak. Jika tidak cukup latihan, memang sukar untuk menamatkan cabaran ini kerana laluannya bukan larian biasa, tetapi trek hutan dengan cerun curam dan laluan mencabar.

“Saya juga difahamkan oleh peserta bahawa laluan ini sangat mencabar, malah ada yang tidak dapat menamatkan cabaran,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, penganjuran Mara Lasak yang bermula tahun lalu di Ulu Dong, Raub kini diteruskan di Chini dan dijangka diperluaskan ke beberapa daerah lain di Pahang pada masa akan datang.

Menurutnya, peningkatan penyertaan hampir dua kali ganda berbanding edisi pertama menunjukkan program itu semakin mendapat perhatian masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan lagi jenama Mara Lasak sebagai acara rekreasi lasak ikonik negeri ini.

**media[3482391]**

Bagaimanapun, beliau berkata, perancangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan logistik serta perancangan yang teliti.

“Insya-ALLAH, saya yakin Mara Lasak 3.0 akan lebih meriah dan kita akan buka kepada rakyat Malaysia dahulu sebelum diperluaskan ke peringkat lebih luas.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa menganjurkan acara ini kerana ia memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Saya juga perlu mempersembahkan perkara ini kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku sebelum diumumkan kepada media,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Khadijah Anwar, 39, yang pertama kali menyertai acara itu berkata, dia mahu mencabar dirinya.

"Walaupun berasa gementar dan hanya sempat berlatih selama sebulan, matlamat saya adalah untuk bekerjasama dengan pasukan sehingga ke garisan penamat. Harap program ini diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

R Thenmozhy, 27, pula berkata, program seperti itu sangat bagus kerana peserta dapat bersosial dan bekerjasama dalam suasana yang sihat.

Seorang lagi peserta, Muhammad Abdillah Iqbal Zulkefli, 26, berpandangan, sekarang ramai anak muda lebih tertumpu kepada telefon pintar, justeru acara seumpama itu sangat bagus untuk menerapkan penjagaan kesihatan dan menarik minat mereka melakukan aktiviti luar yang lebih bermanfaat.

View Original Article