
SEBERANG PERAI – Syarikat pembuatan berteknologi tinggi, SkyGate NHJ Technology Sdn. Bhd. merancang pelaburan sehingga AS$30 juta (RM121 juta) bagi membangunkan kemudahan pembuatan pintar baharu di Pulau Pinang.
Pelaburan yang akan dilaksanakan secara dua fasa itu dijangka membuka lebih 100 peluang pekerjaan teknikal berkualiti tinggi selain membantu melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran dalam bidang pembuatan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyGate NHJ Technology, Jian Li berkata, fasa pertama pembangunan akan memberi tumpuan kepada penubuhan barisan pengeluaran automatik lima paksi (FPS), pusat pemesinan mendatar automatik dengan stor alat berpusat (MLS) serta mesin larik dan kisar pelbagai tugas.
“Bagi fasa kedua pula, fokus diberi untuk kerja-kerja pemesinan dan pemeriksaan automatik komponen semikonduktor bersaiz besar, selain teknologi kembar digital (digital twin) serta aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan kemudahan pembuatan SkyGate NHJ Technology Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Kemudahan berkeluasan kira-kira 36,000 kaki persegi itu dilengkapi teknologi pemesinan kawalan berangka berkomputer (CNC) mendatar dan lima paksi bagi menyokong pembangunan pembuatan digital, automasi serta kerja pemesinan berteknologi tinggi.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, penglibatan pemain industri dalam pembangunan bakat tempatan penting bagi memastikan Pulau Pinang terus memiliki tenaga kerja yang memenuhi keperluan sektor teknologi tinggi.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan komitmen syarikat yang bukan sahaja membawa pelaburan, malah menyediakan peluang pekerjaan berkualiti serta bekerjasama dengan institusi pendidikan dan rakan industri untuk membangunkan bakat tempatan.
“Pulau Pinang kini menjadi lokasi kepada lebih 30 syarikat peralatan ujian automatik (ATE) yang disokong oleh lebih 80 rakan ekosistem dalam bidang automasi, kejuruteraan ketepatan dan pembuatan semikonduktor.
“Justeru, keupayaan pembuatan berketepatan tinggi SkyGate NHJ Technology yang meliputi sektor semikonduktor dan elektronik hingga perubatan, optik serta aeroangkasa meletakkan syarikat itu pada kedudukan baik untuk menyumbang kepada ekosistem teknologi tinggi yang lebih luas ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan boleh menyediakan ekosistem dan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan industri, namun pemain industri juga perlu memainkan peranan dalam melabur terhadap pembangunan tenaga kerja. – KOSMO! ONLINE
The post SkyGate NHJ rancang pelaburan RM121 juta di P. Pinang appeared first on Kosmo Digital.






