Mara rancang tubuh hospital

LocalHealth & Fitness
24 Aug 2026 • 1:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mara rancang tubuh hospital

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) merancang untuk menubuhkan sebuah Hospital Mara yang pertama, bukan sahaja sebagai hospital pengajar, malah sebagai pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi Bumiputera.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agenda penubuhan Hospital Mara tersebut sudah dimulakan oleh pasukan khas, manakala terdapat lima rasional utama untuk membangunkannya.

“Mara sudah mempunyai ekosistem pendidikan yang sangat besar, termasuk UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi dan program berkaitan.

“Latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar adalah sebagai sebahagian keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, Mara mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan dan pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi melalui Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) (kini TVETMARA) termasuk Lenggong dan Ledang, jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.

“Kekuatan Mara ialah kita bukan hanya mempunyai institusi perubatan. Kita juga mempunyai TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri. Sebuah hospital boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu.

“Seterusnya, program sains bioperubatan UniKL MESTECH dan disiplin teknologi pelbagai di kampus-kampus UniKL yang lain boleh disepadukan kerana antara kelebihan Mara ialah kami mempunyai pendidikan perubatan dan dalam masa sama, mempunyai pendidikan kejuruteraan serta teknologi terkait dengan perubatan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Hospital Mara boleh berfungsi sebagai living laboratory (makmal hidup) untuk pelajar dan penyelidik Mara.

“Pelajar KKTM boleh terlibat dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, kampus UniKL lain membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), robotik atau peranti perubatan, sementara usahawan Mara membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem tersebut.

“Rangkaian 160 cawangan U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental boleh menjadi satu lagi komponen sangat penting dalam rasional Hospital Mara, kerana Mara sebenarnya sudah mempunyai rangkaian penjagaan kesihatan barisan hadapan melalui klinik-klinik milik usahawan profesional Bumiputera di bawah program ProSPEC,” ujarnya.

Beliau berkata, Hospital Mara adalah kesinambungan semula jadi mandat Mara untuk membangunkan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik Bumiputera.

“Setelah puluhan tahun kita melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan, sudah tiba masanya Mara bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam industri kesihatan, tetapi turut membina dan memiliki institusi yang menjadi tempat mereka berkhidmat, melakukan penyelidikan dan akhirnya menerajui industri tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Mara rancang tubuh hospital appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved