liza24/08/2026 - 13:03 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan hospital pertamanya bagi memperkukuh ekosistem pendidikan kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada profesional dan usahawan Bumiputera dalam sektor berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA mempunyai asas kukuh dalam bidang pendidikan kesihatan menerusi Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang menawarkan program kejururawatan, farmasi, fisioterapi dan bidang berkaitan.
Menurut beliau, latihan serta pengalaman klinikal di hospital pengajar merupakan komponen penting bagi melengkapkan ekosistem pendidikan UniKL RCMP dan ia menjadi antara asas kepada cadangan penubuhan hospital MARA.
Hospital Sebagai Pusat Latihan Dan Penyelidikan
Asyraf Wajdi berkata, MARA juga mempunyai hampir semua komponen yang diperlukan untuk menyokong penubuhan institusi berkenaan, termasuk pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) melalui Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang kini dikenali sebagai TVETMARA.
Beliau berkata, kekuatan MARA turut merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan serta rangkaian industri yang boleh digabungkan dalam satu ekosistem menerusi hospital tersebut.
Katanya, hospital MARA berpotensi menjadi makmal kehidupan (living laboratory) untuk pelajar dan penyelidik, dengan pelbagai institusi pendidikan MARA boleh memainkan peranan mengikut kepakaran masing-masing.
Gabungkan Kepakaran Perubatan Dan Teknologi
Asyraf Wajdi berkata, pelajar KKTM boleh terlibat dalam pembangunan teknologi peralatan serta sistem hospital manakala pelajar UniKL RCMP boleh menjalani latihan klinikal di hospital berkenaan.
Dalam masa sama, pelajar daripada kampus UniKL lain berpeluang membangunkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik dan peranti perubatan yang boleh menyokong keperluan hospital.
Beliau berkata, program sains bioperubatan di UniKL Mestech turut boleh diintegrasikan ke dalam ekosistem hospital berkenaan bagi memperluas peluang penyelidikan serta pembangunan dalam bidang kesihatan.
Buka Peluang Kepada Usahawan Bumiputera
Menurutnya, rangkaian 160 cawangan U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental turut mengukuhkan asas kepada cadangan penubuhan hospital MARA itu.
Beliau berkata, rangkaian berkenaan menyediakan perkhidmatan kesihatan di peringkat hadapan melalui klinik yang dimiliki usahawan profesional Bumiputera di bawah Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) MARA.
Katanya, hospital berkenaan juga boleh menjadi platform kepada usahawan MARA untuk membekalkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang bakal mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh dalam sektor kesihatan.
MARA Mahu Miliki Institusi Kesihatan Sendiri
Asyraf Wajdi berkata, cadangan hospital itu selari dengan mandat MARA untuk membangunkan modal insan Bumiputera, keusahawanan serta pemilikan strategik dalam sektor-sektor penting.
Menurut beliau, selepas beberapa dekad melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan pelbagai profesional kesihatan, sudah tiba masanya MARA bukan sahaja melahirkan tenaga profesional untuk industri kesihatan, tetapi turut membina dan memiliki sebuah institusi yang membolehkan mereka berkhidmat, menjalankan penyelidikan serta memimpin industri berkenaan.
Beliau berkata, penubuhan hospital itu, sekiranya direalisasikan, boleh menggabungkan kekuatan pendidikan kesihatan, TVET, teknologi, penyelidikan dan keusahawanan MARA dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu. - DagangNews.com





