
SHAH ALAM, 30 JUN: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyingkirkan empat daripada enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang disyaki terbabit dalam kes buli.
Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM bersidang pagi tadi bagi meneliti kes berkenaan.
Menurut beliau, dua lagi pelajar digantung persekolahan sementara menunggu hasil siasatan polis bagi menentukan sama ada mereka turut terbabit dalam insiden berkenaan.
"Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli. Namun, amaran berulang kali diberikan. #YouTouchYouGo.
"Dua daripadanya digantung sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis yang melakukan siasatan sama ada mereka juga turut terbabit melakukan sentuhan fizikal dalam kes buli tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, lapor Berita Harian.
Kelmarin, Asyraf Wajdi mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA bersama pentadbiran MRSM mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam bagi menyiasat serta mengambil tindakan terhadap enam pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terbabit.
Kes itu terbongkar selepas ibu bapa seorang pelajar membuat perkongsian di platform Threads mengenai anak mereka yang mahu berpindah dari sebuah MRSM di Johor kerana mendakwa tidak tahan menjadi mangsa buli.
Susulan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa, enam pelajar Tingkatan Lima berkenaan direman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bakri bagi membantu siasatan.
MARA menegaskan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk buli di institusi pendidikannya dengan tindakan disiplin diambil mengikut hasil siasatan dan keputusan Jawatankuasa Disiplin Maktab.





