
SEBUAH rakaman pertelingkahan di tempat awam yang tular di media sosial baru-baru ini wajar menjadi renungan tentang cara kita mengurus kemarahan, mempertahankan hak dan pada masa sama menjaga adab sesama manusia.
Berdasarkan rakaman tersebut, pertelingkahan dikatakan tercetus akibat rasa tidak puas hati apabila ada pihak didakwa memotong barisan sebelum keadaan menjadi tegang dengan lontaran kata-kata kasar.
Jika benar berlaku, memotong barisan sememangnya perbuatan tidak wajar kerana mengetepikan hak mereka yang telah menunggu. Namun, kesalahan itu tidak seharusnya dibalas dengan penghinaan, cacian atau tindakan yang menjatuhkan maruah.
Kita berhak menegur dan mempertahankan giliran tetapi perlu dilakukan secara berhemah. Jika keadaan semakin tegang, bantuan pekerja, pengurusan premis atau pihak bertanggungjawab boleh diperoleh. Menjerit dan memaki hamun hanya akan memburukkan keadaan.
Dalam situasi sedemikian, kawalan diri menjadi ukuran sebenar kematangan. Kata-kata yang terlepas ketika marah mungkin mengambil hanya beberapa saat untuk dilafazkan tetapi kesannya boleh berpanjangan. Lebih-lebih lagi pada zaman media sosial apabila sesuatu kejadian boleh dirakam dan tersebar dengan pantas.
Islam sendiri mengangkat pengawalan emosi sebagai akhlak terpuji. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 134, yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan orang. Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Rasulullah SAW pula menjelaskan kekuatan sebenar bukan terletak pada kemampuan menjatuhkan orang lain, sebaliknya pada keupayaan mengawal diri ketika marah.
Menahan diri bukan bermaksud membiarkan kesalahan berlaku. Hak tetap boleh dipertahankan, teguran masih boleh diberikan, namun semuanya perlu dilakukan tanpa menghilangkan maruah manusia.
Dalam masa sama, masyarakat perlu berhati-hati menilai video tular. Rakaman beberapa saat mungkin tidak menggambarkan keseluruhan kejadian. Jangan terlalu cepat menghukum, apatah lagi mencari identiti atau maklumat peribadi individu terbabit.
Kita boleh mengecam perbuatan yang salah tanpa mengulangi kesalahan sama melalui makian dan penghinaan di ruangan komen. Media sosial seharusnya menjadi ruang mengambil pengajaran, bukan gelanggang mengaibkan manusia.
Akhirnya, masyarakat matang bukan masyarakat yang tidak pernah berselisih tetapi yang mampu mengurus perbezaan tanpa kehilangan adab.
Kita boleh marah tanpa menghina, menegur tanpa merendahkan dan mempertahankan hak tanpa merampas maruah orang lain. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD AKRAM DAHAMAN @ DAHLAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)
The post Marah bukan lesen menghina appeared first on Utusan Malaysia.
