Marah 'Rider' Lambat Isi Minyak, Lelaki Acu Parang Daging

10 Aug 2026 • 2:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Marah 'Rider' Lambat Isi Minyak, Lelaki Acu Parang Daging

KUALA TERENGGANU - Tidak berpuas hati kerana seorang penghantar makanan mengambil masa lama mengisi minyak motosikal, seorang lelaki mengacukan parang daging terhadap mangsa di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa berusia 26 tahun sedang mengisi minyak motosikalnya.

Beliau berkata suspek berusia 55 tahun kemudian datang menaiki motosikal Honda Wave sebelum berhenti di belakang motosikal mangsa.

“Suspek kemudian menjerit kepada mangsa dan mendakwa mangsa lambat mengisi minyak ke dalam tangki motosikal.

“Suspek kemudiannya mengambil sebilah parang daging dari bakul motosikalnya sebelum mengacukannya ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azli berkata mangsa melarikan diri bagi mengelakkan dirinya dicederakan suspek.

Katanya, kejadian itu turut disaksikan seorang pekerja stesen minyak yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Saksi mengenali suspek kerana lelaki itu sering datang ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak motosikal.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, sepasukan anggota polis kemudian menahan suspek,” katanya.

Polis turut merampas sebilah parang daging berukuran kira-kira 32 sentimeter, sebuah motosikal Honda Wave 110 dan pakaian yang dipercayai berkaitan dengan kejadian.

Azli berkata ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. - Getaran, 10 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved