Maraton jadi platform promosi keunikan Bandar Diraja Klang

22 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Maraton jadi platform promosi keunikan Bandar Diraja Klang

SHAH ALAM, 22 NOV: Penganjuran Larian Bandaraya Diraja Klang 2026 bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mempromosikan keunikan Klang sebagai Bandar Diraja kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata acara yang berlangsung di GM Klang hari ini turut memperkenalkan tarikan pusat perniagaan, makanan dan produk tempatan.

Menurut beliau, pemilihan GM Klang sebagai lokasi penganjuran kali ini bertujuan memperkenalkan kawasan lain di bandar berkenaan selepas edisi terdahulu diadakan di sekitar Royal Klang Heritage Walk yang terkenal dengan bangunan bersejarah.

“Kita buat aktiviti maraton ini bukan untuk satu bangsa sahaja. Kita melibatkan antarabangsa juga. Ini untuk mempromosi gaya hidup sihat,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Norfiza berkata kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut membuka peluang mempromosikan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan kepada pengunjung.

Jelasnya, kehadiran peserta dari dalam dan luar negara bukan sahaja memeriahkan acara larian, malah memberi peluang kepada mereka untuk mengenali pelbagai produk serta tarikan di Klang.

Image from: Maraton jadi platform promosi keunikan Bandar Diraja Klang
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz menunjukkan baju Larian Bandaraya Diraja Klang 2026 ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 17 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pingat kitar semula jadi keunikan maraton

Selain mempromosikan Klang, penganjuran maraton itu turut menekankan aspek kelestarian menerusi penggunaan bahan kitar semula untuk menghasilkan pingat peserta.

Norfiza berkata penggunaan bahan kitar semula dalam penghasilan pingat bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi antara pendekatan yang diamalkan penganjur setiap tahun.

Beliau turut memperkenalkan reka bentuk baju penamat yang berbeza mengikut kategori, iaitu warna hitam bagi peserta yang menamatkan larian 42 kilometer (km) dan hijau untuk kategori 21 km.

Image from: Maraton jadi platform promosi keunikan Bandar Diraja Klang
Suasana sekitar Larian Bandaraya Diraja Klang yang berlangsung di Dataran GM Klang pada 22 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Warga emas aktif berlari, inspirasi generasi muda

Sementara itu, Norfiza berkata aktiviti larian bukan hanya mendapat sambutan golongan muda, malah turut menarik penyertaan warga emas yang komited mengekalkan kecergasan.

Beliau berkongsi pengalaman melihat warga emas berusia antara 79 hingga 85 tahun masih aktif berlari di Taman Rakyat Klang, termasuk melalui laluan berbukit.

Menurutnya, terdapat juga pelari berusia 50 tahun ke atas yang menjadikan Royal Klang Marathon sebagai motivasi untuk berlatih secara konsisten.

“Saya berjumpa dengan orang yang berumur 50 tahun ke atas. Mereka bukan sahaja daripada satu bangsa, ada Cina, Melayu dan India, semua berlari.

“Mereka berlari setiap pagi kerana menunggu Royal Klang Marathon. Ada yang masuk 21 kilometer (km) dan 42 km,” katanya.

Image from: Maraton jadi platform promosi keunikan Bandar Diraja Klang
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Norfiza berkata semangat golongan berkenaan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penyertaan dalam larian jarak jauh memerlukan persediaan fizikal, latihan serta disiplin yang mencukupi.

“Bukan semua orang boleh lari 42 km. Mereka menggunakan tenaga, masa dan mendisiplinkan diri untuk mencapai apa yang mereka mahu,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved