MARDI kerjasama dengan Iran tingkat hasil padi, ayam

27 Feb 2024 • 3:55 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Baka ayam dan benih padi antara 10 skop penyelidikan berkaitan pertanian yang akan dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (AREEO) yang berpangkalan di Tehran, Iran.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata ia bagi mencari kesesuaian baka ayam dan benih padi untuk diusahakan di Malaysia dan Iran, selain sebagai usaha meningkatkan penghasilan padi dan ayam di negara ini.

“Kita (MARDI) telah menandatangani satu surat LOI (surat niat) untuk menjayakan program penanaman padi iaitu kita buat pertukaran benih padi antara kita dan Iran.

“Pada masa yang sama, kita juga membuat penyelidikan dari segi kesesuaian baka-baka ayam dari Iran untuk diternak di sini dan seterusnya memperkenalkannya ke pasaran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Mekanisasi Pertanian dan Makanan Kebangsaan (NCAFM) 2024 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Dr Azman Ismail dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI Dr Azman Hamzah.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mahu kerjasama dalam bidang penyelidikan antara MARDI dan AREEO dipertingkatkan, selari dengan teras strategik kelima Program Inovasi Nasional Keterjaminan Makanan Agromakanan Rakyat (PINTAR) iaitu teras kolaborasi.

Antara perbincangan antara beliau dan rakan sejawatannya dari Iran, Mohamad Ali Nikbakht itu adalah berkaitan perkongsian teknologi dan genetik padi, baka ayam Arian, penyelidikan buah-buahan tropika dan perikanan.

Dalam pada itu, Azman berkata MARDI akan terus memberi penekanan terhadap penggunaan mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik dan aplikasi berasaskan Internet benda dalam bidang pertanian.

“Teknologi moden ini perlu digunakan lebih meluas dalam kalangan petani dan pesawah khususnya ketika negara berdepan kekurangan hasil pertanian akibat perubahan iklim seperti cuaca panas yang sedang melanda sekarang.

“Teknologi ini bukan saja pilihan terbaik tetapi paling serasi dalam agenda keterjaminan makanan terutama dalam meningkatkan pengeluaran, pendapatan dan kualiti hasil pertanian,” katanya. -Bernama