Margin bahan api Malakoff dijangka kekal negatif pada 2QFY23 kesan kemerosotan harga arang batu – Maybank IB
diyana
25/07/2023 - 12:04
KUALA LUMPUR 25 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan margin bahan api Malakoff Corporation Bhd masih kekal negatif pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), tetapi mengecil suku ke suku.
Jelasnya, kejatuhan harga arang batu terpakai (ACP) telah menyebabkan Malakoff mengalami margin bahan api negatif yang besar pada 1QFY23 dan pengawal selia telah mendedahkan purata ACP merosot 29% pada 2QFY23 dengan paras terendah pada April 2023.
“Kami menganggarkan Malakoff masih akan menanggung margin bahan api negatif pada 2QFY23, walaupun pada kuantum yang lebih kecil berbanding 1QFY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Maybank IB berkata Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) mengalami gangguan selanjutnya pada 2QFY23, yang berpotensi menyebabkan pembayaran kapasiti terlepas.
Memetik log operasi kumpulan itu sehingga Jun 2023, Unit 1, 2 dan 3 TBP tidak beroperasi masing-masing selama 12, 22 dan 13 hari pada 2QFY23 dan firma penyelidikan itu berkata ia tidak jelas pada masa penulisan ini sama ada gangguan ini dijadualkan atau tidak.
“Dengan Unit 2 dan 3 telah mengalami masa henti yang ketara pada 1QFY23, kami tidak menolak kemungkinan terlepas pembayaran kapasiti untuk TBP pada 2QFY23,” katanya sambil menambah Tanjung Bin Energy (TBE) telah beroperasi sepanjang 2QFY23.
Firma itu berpendapat bahawa ganjaran-risiko kekal seimbang secara keseluruh memandangkan hasil dividen kira-kira 6% yang masih baik.
Di samping itu, firma tersebut berkata Malakoff telah mencapai kemajuan selanjutnya baru-baru ini dengan perjalanan peralihannya, setelah mencapai penutupan kewangan untuk projek hidro kecil 70% miliknya dengan kapasiti kumulatif 84MW di Kelantan.
Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 60 sen sesaham.
Firma itu berkata pilihan utamanya bagi sektor utiliti adalah YTL Power (beli, TP: RM1.50).
Pada waktu penulisan, saham Malakoff tidak berubah pada 61.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM3.1 bilion. - DagangNews.com


