PublicInvest unjur margin keuntungan sektor pembinaan mendatar antara 6% hingga 8% kesan peningkatan harga bahan binaan

Business & Finance
3 Jul 2023 • 12:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PublicInvest unjur margin keuntungan sektor pembinaan mendatar antara 6% hingga 8% kesan peningkatan harga bahan binaan

azan

03/07/2023 - 12:31

KUALA LUMPUR 3 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan margin keuntungan sektor pembinaan adalah mendatar tahun ini iaitu antara 6% hingga 8% kesan daripada peningkatan harga bahan binaan.

Firma itu berkata, harga bahan binaan utama seperti simen telah melonjak lebih 30% dari suku ke suku manakala kos buruh juga bertambah lebih 30% mengecilkan lagi margin sektor pembinaan.

"Lonjakan ini bagaimanapun dikurangkan dengan penurunan harga bar keluli pada lebih daripada 10% dari suku tahun ke suku tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, pemulihan bagi sektor itu bagaimanapun dilihat terjejas kerana banyak syarikat yang berusaha mendapatkan projek baharu.

"Sektor pembinaan kini dilihat tidak lagi berdepan isu pekerja asing.

"Bagaimanapun, kebanyak kontraktor berdepan kesukaran mendapatkan projek dan ia dilihat mendorong mereka terpaksa bersaing dan mengorbangkan margin keuntungan," katanya.

Firma itu berkata, tekanan sektor seperti harga bahan binaan yang tidak menentu dan kekurangan tenaga kerja sudah selesai walaupun terus dicabar oleh harga bahan utama yang masih tinggi (simen dan keluli).

Firma itu percaya pendapatan sektor akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku akan datang memandangkan, kos pembinaan telah stabil di samping peningkatan kecekapan kerja yang membawa kepada pengebilan kemajuan yang lebih tinggi.

"Pengebilan kemajuan daripada projek baharu juga akan membantu mengukuhkan margin kerana projek baharu cenderung untuk memperoleh margin yang lebih baik berbanding projek lama disebabkan harga bahan utama," katanya.

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com