Margin operasi lebih baik, rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 2QFY25 susut 30.45% kepada RM173.1 juta

05/08/2025 - 17:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holdings Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) menyusut 30.45% kepada RM173.1 juta berbanding RM248.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu margin operasi yang bertambah baik.
Kumpulan itu berkata, penyusutan itu juga dibantu perbelanjaan pengedaran dan pentadbiran yang lebih rendah, serta tuntutan insurans sekali sahaja berkenaan gangguan perniagaan yang berlaku pada 2022.
Hasil kumpulan pada suku berkenaan bagaimanapun menysuut kepada RM1.43 bilion berbanding RM1.78 bilion pada 2QFY24 disebabkan purata kadar penggunaan loji seidkit menurun kepada 46% berbanding 47% pada suku sama tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jang Seon Pyo berkata, pihaknya menjangkakan persekitaran perniagaan global kekal tidak menentu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ketegangan geopolitik yang berterusan, seperti peperangan Rusia-Ukraine dan ketidakstabilan di Asia Barat, terus menjadi faktor risiko.
"Tarif Amerika Syarikat (AS) kini muncul sebagai faktor yang membentuk semula dinamik perdagangan dunia. Pada masa yang sama, lebihan bekalan produk petrokimia yang berterusan terus memberi kesan kepada dinamik penawaran dan permintaan, baik di peringkat serantau mahupun global.
"Walaupun berdepan cabaran, kami tetap komited mengekalkan kedudukan di pasaran serantau utama, terutamanya di Malaysia, Indonesia, dan seluruh Asia Tenggara.
"Dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau yang lebih berhati-hati dan jangkaan kadar operasi yang sederhana, kami akan terus mengharungi kitaran semasa ini dengan penuh berhemah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, projek LINE (Lotte Chemical Indonesia New Ethylene) kami di Merak, Indonesia dijangka memulakan operasi komersial pada separuh kedua tahun 2025.
Pihak Pengurusan akan terus memantau dengan teliti dinamik pasaran dan memberikan kemas kini mengenai kemajuan projek ini dari semasa ke semasa - DagangNews.com
standard
