Untung bersih Westports pada 2QFY25 naik kepada RM231.63 juta didorong peningkatan hasil

01/08/2025 - 14:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Untung bersih Westports Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) meningkat kepada RM231.63 juta berbanding RM203.75 juta pada suku sama pada tahun sebelumnya didorong peningkatan hasil ketara.
Kumpulan itu berkata, hasil kumpulan pada suku berkenaan meningkat 25% kepada RM691.06 juta berbanding RM553 juta dengan mereka mengumumkan dividen sebanyak 9.93 sen sesaham.
Syarikat itu menjangkakan pertumbuhan jumlah kontena pada kadar satu digit tahun ini, walaupun mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 13.7% didorong usaha kebanyakan syarikat mempercepatkan penghantaran barangan sebelum tarif Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa.
Westports berkata, pihaknya berdepan cabaran mengekalkan jumlah kontena yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini selepas mengambil kira faktor seperti ketidakstabilan tarif, konflik ketenteraan, kesesakan pelabuhan dan kadar faedan yang belum stabil.
“Penilaian terkini meramalkan jumlah kontena tahun ini mencatatkan kadar pertumbuhan satu digit," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Penilaian terkini syarikat adalah bahawa jumlah kontena tahun ini akan mencatat kadar pertumbuhan positif satu digit. Syarikat akan menyemak semula unjuran ini dari semasa ke semasa,” kata Westports.
Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata, permintaan terhadap kemudahan pengendalian terminal kontena dijangka menggalakkan apabila Terminal Kontena 10 (CT10) mula beroperasi.
“Ekonomi AS kekal berdaya tahan walaupun dikenakan tarif perdagangan, manakala permintaan terhadap pengendalian kontena di rantau ini kekal kukuh berikutan penstrukturan semula pakatan perkapalan kontena.
“Di Westports, kami menjangkakan permintaan yang menggalakkan terhadap kemudahan pengendalian terminal kontena apabila syarikat memulakan operasi terminal kontena yang diperluas, CT10, pada tahun 2028,” katanya.
Bagi 1HFY25, untung bersih kumpulan meningkat 11.23% kepada RM454.09 juta daripada RM408.26 juta, manakala hasil meningkat sebanyak 19.72% kepada RM1.31 bilion daripada RM1.1 bilion.
Syarikat telah mengendalikan sebanyak 5.57 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena sepanjang 1HFY2025.
Laluan perdagangan intra-Asia kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi 61% daripada jumlah keseluruhan kontena yang dikendalikan.
Sementara itu, segmen konvensional telah mengendalikan sebanyak 5.71 juta metrik tan kargo pukal sepanjang 1HFY2025, yang didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam segmen pukal kering. - DagangNews.com
standard

