Cadangan supaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli direhatkan susulan isu yang mengaitkannya dengan gerakan New Age Movement (NAM) masih dalam penelitian sebelum sebarang keputusan dibuat.
Pandangan pakar turut diperoleh
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyatakan, perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan, manakala pandangan pakar turut diperoleh bagi membantu penelitian lanjut.
Menurutnya, soalan bertulis juga akan dikemukakan kepada Marhamah bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.
“Jadi, kita juga akan menyerahkan satu persoalan-persoalan bertulis, insya-Allah, yang akan dijawab oleh Yang Berhormat. Jadi, semua ini akan diselesaikan secara sebaik,” katanya ketika merasmikan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia (MAPBA), di sini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Isu itu mendapat perhatian selepas seorang pengguna Facebook berkongsi hantaran mengenai program yang dikaitkan dengan Marhamah dan didakwa mempunyai unsur NAM.

Pada 18 September lalu, media melaporkan Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan berkenaan supaya menarik balik penerbitan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka.
Dalam kenyataan sebelum ini, Marhamah turut menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
Sumber: Utusan Malaysia (Nurul Irdina Sumali dan Madzalina Majing)






