Maria Tunku Sabri gemar penampilan ‘luar biasa’

4 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Maria Tunku Sabri gemar penampilan ‘luar biasa’

PEMBABITAN pengacara ikonik, Maria Tunku Sabri dalam rancangan Kilauan Emas Selebriti sememangnya penuh dengan impak tersendiri. Walaupun sering menjadi sasaran kecaman netizen, ironinya persembahannya di pentas Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor tetap dinantikan ramai.

Akur tersingkir pada minggu kelima peringkat suku akhir (minggu kelima) selepas membawakan lagu Berdiri Bulu Romaku, Maria bagaimanapun memilih untuk kekal positif dan menganggap peluang muncul dalam program itu secara tidak langsung menjadi medan buat beliau bereksperimen dengan variasi gaya dan pesona fesyen terutama ketika membuat persembahan.

Katanya, setiap minggu mempunyai konsep dan gaya berbeza bukan sahaja sesuai mengikut lagu tetapi turut memenuhi cita rasanya yang gemarkan penampilan ‘luar biasa’.

“Pihak stesen televisyen tidak meletakkan sebarang batas atau garis panduan melainkan mereka meminta saya untuk tetap kelihatan cantik pada setiap minggu. Saya juga berterima kasih kepada pasukan yang bersusah payah untuk mendandan dan menghasilkan pakaian berdasarkan contoh gambar yang diberikan sekali gus mewujudkan idea itu mengikut kreativiti mereka.

“Saya ingin menjadi ikon fesyen Kilauan Emas Selebriti dan alhamdulillah semua boleh menerima saya sebagai ikon,” katanya kepada CitaRasa.

Menggemari warna terang seperti merah dan jingga sekali gus menjadi simbol penampilannya, Maria sangat menitikberatkan soal penampilan terutama kerjayanya sebagai pengacara majlis yang perlu sentiasa tampil rapi dan cantik di depan khalayak.

Image from: Maria Tunku Sabri gemar penampilan ‘luar biasa’
MARIA disifatkan sebagai ikon fesyen Kilauan Emas Selebriti.

Sinonim dengan program Jalan-Jalan Cari Makan, Maria memberitahu, pengalaman kerja sebagai pramugari sebelum ini secara tidak langsung membuatkan dirinya sangat berdisiplin dalam soal penampilan.

“Kekemasan, kebersihan dan kerapian itu penting dalam penampilan kerana saya perlu berdepan orang ramai tidak mengira sama ada di pejabat atau ketika melakukan tugas pengacaraan.

“Sebelum keluar rumah, saya setidak-tidaknya perlu mengenakan solekan nipis pada kening dan bibir, manakala pakaian pula perlu diseterika meskipun memakai seluar jean.

“Sejak kecil memang keluarga sudah menerapkan perkara itu dan sehingga sekarang saya masih mengamalkannya. Jika tidak mahu bersiap ketika keluar rumah terutama ke pasar, saya akan pakai topi dan pelitup muka supaya orang tidak melihat,” katanya.

Terus rancak bercerita tentang gaya, Maria mengakui gemar mengenakan pakaian rona senada yang dipadankan dengan kasut dan beg tangan.

Katanya, sebuah bilik khas dijadikan sebagai lokasi khusus buat menyimpan pakaian, kasut dan beg tangan atau lebih mudah digelarkan sebagai walking closet. Menjadi impian para wanita, Maria menjadikan lokasi itu untuk menyimpan ‘ribuan’ koleksi pakaian yang tidak pernah berkurang.

“Sejujurnya saya memang suka membeli pakaian baharu dan tidak akan mengulang semula pakaian yang sudah dipakai ke tempat kerja, mengacara majlis atau pergi ke mana-mana.

“Sama juga sepanjang hadiri latihan vokal dan persembahan untuk konsert Kilauan Emas Selebriti, saya tidak mengulang pakaian yang sama berulang kali.

“Bahagian atas (top) saya sentiasa akan tukar dan mungkin akan ulang semula sama ada dalam tempoh enam bulan kemudian atau bila saya fikir lama sudah orang tidak melihat saya memakai pakaian itu. Bagi saya mengulang semula pakaian itu membuatkan orang akan cepat bosan atau hilang aura.

“Saya tidak berikan pakaian lama kepada sesiapa kerana setiap satunya miliki nilai sentimental tersendiri. Saya simpan semua pakaian dari saiz kurus, sederhana, gempal sehingga sekarang selepas membuat pembedahan bariatrik,” ujarnya yang mengakui meminati penampilan bintang antarabangsa Jennifer Lopez dan Salma Hayek dan jadikan mereka sebagai rujukan fesyen.

The post Maria Tunku Sabri gemar penampilan ‘luar biasa’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved