MARii LANCAR SKIM LABEL NxGV SECARA SUKARELA & RAI INOVASI BELIA PACU KEPEMIMPINAN MOBILITI HIJAU ASEAN

LocalTechnology
12 May 2025 • 3:56 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

SERDANG, 12 MEI 2025 – Sempena Malaysia Autoshow 2025, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) secara rasmi melancarkan Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Baharu Sukarela (NxGV), sebuah inisiatif penting di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) yang bertujuan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti hijau dan pintar, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju automotif di rantau ASEAN.

Seiring semangat inovasi ini, MARii turut menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran NxGV 2025 yang meraikan pencapaian luar biasa golongan belia dalam reka bentuk dan pembangunan kenderaan elektrik (EV), hasil kerjasama MARii dan SAE Malaysia, dengan sokongan PERODUA. Kedua-dua pencapaian ini mencerminkan komitmen proaktif Malaysia di bawah Pengerusian ASEAN 2025 dalam memacu transformasi mobiliti rendah karbon dan berteknologi tinggi, sambil melahirkan bakat baharu dalam industri automotif.

Sebagai satu rangka kerja inovasi dan pematuhan secara sukarela, Skim Pelabelan NxGV menetapkan penanda aras baharu untuk kenderaan yang memenuhi kriteria kecekapan tenaga, automasi (minimum Tahap 3), dan kesalinghubungan. Skim ini memberi peluang kepada pengeluar kenderaan (OEM), termasuk pengeluar EV dan kenderaan autonomi, untuk menyerlahkan teknologi mereka dalam pasaran yang semakin berkembang, di peringkat tempatan dan serantau.

“Label NxGV bukan sekadar lambang pematuhan, ia adalah isyarat strategik kepada inovasi, kelestarian dan kepimpinan ASEAN,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz. “Di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kita berbangga menyelaraskan aspirasi mobiliti negara dengan keutamaan serantau, ke arah masa depan bersama yang dipacu oleh Kenderaan Generasi Baharu.”

Label ini sejajar dengan sasaran Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 selaras dengan Perjanjian Paris, serta menyokong usaha negara ke arah mencapai Karbon Neutral menjelang 2050. Ia juga memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem NxGV yang kompetitif, menyokong penerimaan teknologi hijau, pendigitalan industri dan inovasi mobiliti masa depan.

“Pelabelan kenderaan hari ini tidak boleh lagi terhad kepada pelepasan karbon sahaja — ia mesti merangkumi aspek kecerdasan, kesalinghubungan dan automasi,” kata Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). “Skim Pelabelan NxGV Malaysia menetapkan piawaian itu, dan mencerminkan komitmen kita untuk menjadikan Malaysia, serta ASEAN, sebagai pusat kepada transformasi global menuju mobiliti mampan dan berteknologi tinggi.”

Turut berlangsung dalam acara ini ialah Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran NxGV 2025, yang mengiktiraf bakat muda terbaik Malaysia dalam inovasi EV. Cabaran yang bermula pada Disember 2024 ini memberi peluang kepada pelajar universiti dan politeknik untuk mereka bentuk, membina dan berlumba menggunakan kenderaan elektrik gaya formula terbuka. Pasukan turut dikehendaki menghantar kertas teknikal di bawah platform penyelidikan SAE Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

Ts. Zulhaidi Jawi, Pengerusi SAE Malaysia berkata, “SAE Malaysia berbesar hati dapat membangunkan satu platform yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan aplikasi sebenar dalam inovasi EV. Para pelajar ini bukan sekadar bertanding, mereka sedang membentuk masa depan mobiliti Malaysia dan ASEAN.”

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, pula berkata, penglibatan institusi pengajian tinggi bukan sahaja dari segi ilmu, malah penting dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri. “Peranan Perodua sentiasa adalah untuk membangunkan ekosistem automotif Malaysia – ini termasuk mempersiapkan generasi baharu untuk mendakap teknologi EV kerana inilah masa depan,” katanya.

Cabaran NxGV 2025 terdiri daripada dua peringkat utama:

  • Acara Statik (reka bentuk, analisis kos dan pembentangan model perniagaan)
  • Acara Dinamik (ujian pecutan, ketahanan dan kecekapan)

Pemenang Cabaran NxGV 2025:

  • Juara: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
  • Naib Juara Pertama: Politeknik Kota Bharu
  • Naib Juara Kedua: Politeknik Sultan Azlan Shah

Anugerah Khas:

  • Anugerah Keselamatan Terbaik: Politeknik Sultan Azlan Shah
  • Reka Bentuk Terbaik (Gaya): Politeknik Port Dickson
  • Komitmen Terbaik: Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur
  • Anugerah Kertas Terbaik: Daing Nafiz, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Dengan Malaysia menerajui ASEAN pada tahun 2025, inisiatif seperti Skim Pelabelan NxGV dan Cabaran NxGV menunjukkan visi negara untuk menjadi hab serantau bagi mobiliti mampan, pintar dan inklusif — menjadikan Malaysia bukan sahaja peneraju inovasi, tetapi pemangkin kepada transformasi hijau ASEAN.