Maritim Johor nafi video tular kemasukan PATI

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maritim Johor nafi video tular kemasukan PATI
Tangkap layar video tular yang mendakwa berlaku kemasukan PATI melalui Pantai Barat Johor pada bulan ini - Gambar kecil (Kama Azri)

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menafikan video tular di media sosial yang mendakwa berlaku kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Pantai Barat Johor pada bulan ini.

Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, penafian itu dibuat selepas proses semakan dan penilaian terhadap kandungan video berkenaan.

“Hasil risikan dan siasatan menunjukkan tiada bukti yang mengesahkan modus operandi seperti yang dipaparkan dalam video itu.

“Malah, Maritim Johor tidak menolak kemungkinan kandungan itu digunakan sebagai taktik penipuan oleh pihak tertentu bagi memperdaya individu yang ingin mendapatkan khidmat membawa masuk atau keluar pendatang asing tanpa izin,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, modus operandi sindiket sentiasa berubah bagi mengelakkan pengesanan, termasuk menggunakan bot fiber berenjin kecil yang menyerupai bot nelayan tempatan.

Selain itu, katanya, sindiket turut menukar lokasi pendaratan serta memilih waktu operasi yang sukar dikesan.

Maritim Johor akan terus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negeri menerusi rondaan, operasi penguatkuasaan dan risikan secara berterusan bagi mengekang cubaan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan melalui laluan laut.

Dalam tempoh dua tahun, sebanyak 13 cubaan penyeludupan migran melalui laut berjaya dipatahkan.

Daripada jumlah itu, enam kes direkodkan pada 2024, diikuti empat kes pada 2025 dan tiga kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved