Maritim Malaysia teroka senjata moden, perkukuh operasi di perairan

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 10:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maritim Malaysia teroka senjata moden, perkukuh operasi di perairan
Saiful Lizan (kanan) melihat pameran senjata di reruai yang berlangsung di DSA dan NATSEC Asia 2026, Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memfokuskan penerokaan pemodenan persenjataan bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan di perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, keperluan itu bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keutamaan bagi memastikan kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap optimum.

Menurutnya, persekitaran operasi kini jauh lebih mencabar dengan ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Maritim Malaysia perlu bergerak seiring perkembangan teknologi bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir mewakili Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah pada Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara pada Isnin.

Saiful Lizan berkata, kehadiran Maritim Malaysia dalam DSA dan NATSEC Asia 2026 bukan sekadar penyertaan program, sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengenal pasti sistem persenjataan moden yang bersesuaian dengan keperluan operasi di zon maritim negara.

Katanya, dalam landskap semasa, keperluan Maritim Malaysia bukan sekadar meningkatkan keupayaan aset seperti kapal dan pesawat, tetapi turut memerlukan sokongan persenjataan dan teknologi yang relevan.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia kini meneliti penggunaan senjata 'non-lethal weapon' termasuk 'electric gun' sebagai sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan lebih fleksibel dan terkawal.

“Pendekatan penggunaan senjata berkenaan selaras dengan amalan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Maritim Malaysia turut menilai keperluan penggunaan senjata operasi (duty sidearm) bertaraf antarabangsa, khususnya bagi situasi berisiko tinggi seperti pemeriksaan vesel nelayan asing atau aktiviti jenayah rentas sempadan.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin ketika berdepan situasi tidak menentu di laut.

"Fokus pemodenan Maritim Malaysia tidak terhad kepada penambahan aset semata-mata, sebaliknya melibatkan integrasi menyeluruh merangkumi persenjataan, sistem pemantauan serta elemen risikan.

“Semua inisiatif yang dirangka turut mengambil kira aspek pematuhan undang-undang, keberkesanan operasi serta keselamatan anggota sebagai keutamaan utama agensi," ujarnya.