KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia terus mencatat prestasi cemerlang apabila diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara yang kini menunjukkan pertumbuhan kukuh, disokong oleh peningkatan pelaburan serta keyakinan pasaran global.
Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan kebelakangan ini, dana global telah membeli bon Malaysia bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM9.5 bilion), sekali gus merekodkan aliran masuk tertinggi.
“Konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran global, termasuk kenaikan harga tenaga dan aliran keluar modal dari beberapa negara.
“Namun begitu, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita menyaksikan aliran masuk dana apabila pelabur global membeli bon Malaysia sebanyak 2 bilion dolar Amerika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini pada Isnin.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tambah Anwar, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun lalu dengan rekod pelaburan tertinggi, didorong sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.
Jelasnya, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi dasar serta penglibatan aktif bersama syarikat dan pengurus dana antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keupayaan industri tempatan dalam sektor pertahanan, khususnya melibatkan aeroangkasa dan semikonduktor yang berperanan dalam pengujian serta pembungkusan cip bagi sistem keselamatan.
“Sebahagian syarikat Malaysia kini mempunyai status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, dengan pengeluaran komponen berteknologi tinggi di negara ini.
“Keupayaan ini mencerminkan budaya ketepatan dan akauntabiliti tinggi yang turut diaplikasikan dalam sektor aeroangkasa pertahanan,” ujarnya.






