LUMUT – Tiga remaja berusia 16 tahun yang hanyut ketika menaiki sampan di perairan Pasir Panjang, Manjung berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak petang Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima maklumat kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.57 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan tersebut, operasi Carilamat segera diaktifkan dengan Bot Perkasa 1223 digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 3.2 batu nautika tenggara Pulau Katak.
"Ketika operasi dijalankan, keadaan cuaca dilaporkan kurang baik dengan angin barat laut berkelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam.
"Ketinggian ombak pula mencecah antara 1.5 hingga 2.5 meter selain berlaku ribut petir di beberapa kawasan yang meningkatkan risiko keselamatan di laut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Shukri berkata, Bot Perkasa 1223 tiba di lokasi kejadian pada jam 8.25 malam sebelum menemui ketiga-tiga mangsa bersama bot sampan mereka dalam keadaan selamat.
**media[3453974]**
Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Jeti Marina Island sebelum diserahkan kepada waris masing-masing pada jam 10.10 malam.
"Operasi Carilamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 malam selepas semua aset kembali ke pangkalan," katanya.
Mohamad Shukri berkata, tindakan pantas pengaktifan operasi serta respons segera aset di lapangan memastikan ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memantau keadaan cuaca sebelum turun ke laut, selain memakai jaket keselamatan serta membawa alat komunikasi yang berfungsi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan keluarga yang tinggal berhampiran kawasan perairan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak, khususnya golongan remaja, agar tidak keluar ke laut tanpa pengawasan dan langkah keselamatan sewajarnya.


