CSR penuh makna Ramadan

5 Mar 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Raja Nurmaria Murni (tiga dari kiri) bersama Firdaus (tengah) diiringi Nik Justin (empat dari kanan) dan Ahmad Faudzi (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan al-Quran kepada keluarga miskin bandar di Pangsapuri Melati.
image is not available
Firdaus menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian sumbangan CSR 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive dan Inisiatif Satu Rumah Satu Quran Karya Bestari di Pangsapuri Melati pada Rabu.
image is not available
Raja Nurmaria Murni
image is not available
Pihak Karangkraf dan Nestle bersama wakil 10 penerima sumbangan CSR 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive dan Inisiatif Satu Rumah Satu Quran Karya Bestari.

SHAH ALAM – Ramai penerima sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive dan Inisiatif Satu Rumah Satu Quran Karya Bestari mengakui program itu yang menutup tirainya bagi zon Lembah Klang pada Rabu berbeza kerana dapat menyeimbangkan keperluan hidup.

Menerusi usaha itu, tuntutan dari segi jasmani dan rohani dilihat dapat dipenuhi kerana golongan keluarga miskin bandar yang menerima bantuan berkenaan bukan sahaja diberikan kotak barangan makanan asas tetapi juga senaskah al-Quran.

Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, maklum balas diterima daripada penerima memberi kelegaan kerana sememangnya mereka berharap ia mampu melengkapkan keperluan rohani dan jasmani setiap keluarga miskin bandar sepanjang Ramadan.

**media[3453184]**

“Kami juga lega sebab penutup acara CSR ini bagi zon Lembah Klang berjaya dilaksanakan di Pangsapuri Melati apabila 100 keluarga menerima sumbangan ini. Seterusnya kami akan ke Pantai Timur untuk menyantuni penerima di sana pula.

“Dengan pemberian al-Quran menerusi program ini, orang akan baca al-Quran, menghayati maksudnya dan sekali gus mereka mendapat pahala,” katanya di Pangsapuri Subang, Taman Bukit Subang, pada Rabu.

Firdaus berkata, CSR 2026 Karangkraf x Nestle Ramadan Food Drive dan Inisiatif Satu Rumah Satu Quran Karya Bestari juga menjadi program kerjasama julung kali seumpamanya bersama Nestle akan diteruskan sekiranya terus mendapat sokongan Nestle dan badan-badan korporat lain.

Justeru, beliau juga menyeru supaya lebih ramai pihak korporat lain untuk tampil bekerjasama.

**media[3453185]**

1,000 kotak makanan

Sementara itu, Pengarah Eksekutif (Hal Ehwal Korporat Kumpulan) Nestle Malaysia, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi berkata, keluarga penerima miskin bandar turut meluahkan rasa lega kerana pemberian tersebut meringankan beban mereka.

“Secara keseluruhan dalam Ramadan Food Drive ini bersama Karangkraf, kami di Nestle menyumbang atau mengagihkan sebanyak 1,000 kotak makanan yang di dalamnya mengandungi makanan dan minuman yang bernutrisi daripada Nestle.

“Insya-ALLAH kami berharap dapat teruskan inisiatif ini dengan kerjasama bersama pihak Karangkraf,” ujar beliau.

Antara barangan yang diagihkan ialah Milo, susu EveryDay, mi segera Maggi, bijirin sarapan Coco Crunch dan sebagainya yang dianggarkan bernilai RM250 termasuk al-Quran.

Di Lembah Klang, program bermula pada 26 Februari lalu di Ara Damansara sebagai majlis pembukaan sebelum diteruskan ke Lembah Subang, Subang Bestari, Klang dan Shah Alam.

**media[3453181]**

Santuni komuniti miskin bandar

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat dan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin menjelaskan, dengan pelaksanaan program itu di lokasi kelima tersebut, pihak mereka telah menyantuni 500 hingga 600 komuniti miskin bandar dan keseluruhannya 1,000 keluarga apabila program berakhir.

“Konsep program ini tercetus apabila kita ‘berehat’ seketika daripada menganjurkan Iftar Ala Madinah@Karangkraf tetapi objektifnya tetap sama iaitu untuk menyantuni golongan miskin bandar ini,” katanya.

Menurutnya, mereka akan ke Kuantan pada Jumaat diikuti Kuala Terengganu (Sabtu) dan ke Kota Bharu (Ahad).

Sementara itu, wakil komuniti, Ahmad Faudzi Mohd Nazam juga menyifatkan usaha itu wajar diteruskan kerana dapat memberi manfaat kepada kelompok berpendapatan rendah atau B40.

“Kebanyakan penerima berterima kasih atas sumbangan. Bagi mereka sumbangan sangat dekat di hati apabila al-Quran turut dihadiahkan.

“Barangan makanan pula memang memenuhi keperluan dapur mereka apatah lagi ketika sedang menjalani ibadah puasa dan bakal menyambut raya tidak lama lagi. Saya turut yakin bantuan ini akan ‘membuka’ hati mereka untuk lebih mendalami al-Quran,” ujarnya.