Maritim Selangor Tahan Bot Fiber Tidak Berdaftar

15 Jul 2026 • 10:37 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Maritim Selangor Tahan Bot Fiber Tidak Berdaftar

Maritim Selangor Tahan Bot Fiber Tidak Berdaftar

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot fiber tidak berdaftar bersama tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan secara menyalahi undang-undang di perairan Pulau Ketam, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin di bawah Op EHSAN, Op TIRIS 4.0 dan Op Khas Tanjung Siri 2 di kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika utara Pulau Klang.

Menurut beliau, bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan diperiksa oleh pasukan penguat kuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Indonesia berusia 26 tahun bersama dua awak-awak, masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 26 hingga 32 tahun.

"Ketiga-tiga individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bot berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kelong ikan di Pulau Ketam.

Menurutnya, tekong turut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan vesel, sekali gus disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Kesemua suspek bersama bot tersebut kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana mengendalikan bot yang tidak berdaftar serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya aktiviti perikanan haram dan kemasukan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan sumber perikanan negara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved