Maritim siasat bot nelayan tempatan dilanggar bot lain di perairan Terengganu

4 Nov 2026 • 10:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maritim siasat bot nelayan tempatan dilanggar bot lain di perairan Terengganu
Keadaan bot nelayan tempatan yang dilanggar sebuah bot lain di perairan Terengganu pada Isnin lalu.

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menyiasat insiden sebuah bot nelayan tempatan yang dirempuh bot lain di perairan negeri ini.

​Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya sudah merakam percakapan beberapa saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang berlaku pada kedudukan kira-kira 33 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

​Menurutnya, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu disedari selepas salah seorang daripada lima kru termasuk tekong sedang berehat terkejut apabila melihat sebuah bot berukuran lebih besar merapati mereka pada kelajuan tinggi.

"​Rempuhan kuat itu mengakibatkan bot nelayan Kelas A berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang serta struktur bumbung.

"​Bagaimanapun, kesemua kru dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan sebelum bot berkenaan dibawa pulang ke Jeti Duyong untuk proses pembaikan dengan kerugian dianggarkan mencecah RM10,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

​Beliau berkata, setakat ini, identiti bot yang merempuh itu belum dikenal pasti dan siasatan lanjut giat dijalankan bagi mendapatkan pengesahan berhubung insiden itu.

​"Semakan rekod tangkapan Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu juga mendapati tiada sebarang rekod tangkapan bot nelayan asing Vietnam dikesan di sekitar lokasi terbabit seperti yang dikaitkan sebelum ini," jelas beliau.

​Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sementara siasatan masih berjalan.

Beliau berkata, keselamatan komuniti nelayan sentiasa diletakkan di barisan hadapan dan rondaan pemantauan akan terus diperhebat.

​"Komuniti nelayan diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri, memastikan alat perhubungan serta navigasi berfungsi dengan baik serta segera menyalurkan maklumat jika berdepan sebarang insiden mencurigakan di laut," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved