Maritim tahan kapal korek bawa muatan pasir berlebihan

27 Jul 2026 • 4:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Maritim tahan kapal korek bawa muatan pasir berlebihan

GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua kapal korek yang disyaki membawa muatan pasir melebihi had dibenarkan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM400 juta dalam operasi di perairan barat daya Pulau Rimau, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kedua-dua kapal itu dikesan kira-kira 2.7 batu nautika dari barat daya Pulau Rimau iaitu semasa bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati, setiap kapal dikendalikan oleh 14 kru warga asing membabitkan lima warga Indonesia dan sembilan warga China manakala kedua-dua kapal masing-masing dipandu oleh nakhoda warga Indonesia berusia 28 dan 31 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana membawa muatan pasir melebihi had yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga kru daripada setiap kapal kemudian ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim bagi tindakan dan siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, Maritim Malaysia turut memperkukuh kawalan keselamatan menerusi Ops Khas Bersepadu membanteras pencerobohan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Katanya, operasi yang diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain dengan kerjasama pelbagai agensi bertujuan mencegah sebarang pencerobohan dan memastikan pematuhan undang-undang di kawasan KLTL.

“Kedua-dua jambatan telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), selain diklasifikasikan sebagai Sasaran Penting Negara.

“Hasil rondaan mendapati kawasan di bawah kedua-dua jambatan yang sebelum ini sering menjadi lokasi aktiviti memancing kini bebas daripada sebarang aktiviti pencerobohan,” katanya. – UTUSAN

The post Maritim tahan kapal korek bawa muatan pasir berlebihan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved