Tiada lagi pemancing ceroboh kawasan bawah Jambatan Pulau Pinang

27 Jul 2026 • 10:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada lagi pemancing ceroboh kawasan bawah Jambatan Pulau Pinang
Ops Khas Bersepadu dilaksanakan pada Sabtu melibatkan pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia Pulau Pinang bagi memantau pemancing di kedua-dua jambatan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang sebelum ini sering menjadi tumpuan aktiviti memancing kini bebas daripada sebarang pencerobohan hasil penguatkuasaan serta kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Maritim Malaysia bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) telah melaksanakan Ops Khas Bersepadu di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada Sabtu.

Muhammad Suffi berkata, operasi yang diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain itu melibatkan 35 pegawai dan anggota serta dua aset bot Maritim Malaysia.

“Hasil rondaan dan pemeriksaan mendapati kawasan di bawah kedua-dua jambatan yang sebelum ini sering menjadi tumpuan aktiviti memancing kini bebas daripada sebarang aktiviti memancing dan pencerobohan.

“Kejayaan tersebut merupakan impak positif hasil pelaksanaan kempen hebahan dan kesedaran secara berterusan bagi memaklumkan bahawa kawasan berkenaan telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan.

“Selain itu, ia membuktikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan warga Pulau Pinang dan komuniti maritim,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan komuniti nelayan dan pemilik bot supaya tidak menceroboh kawasan di bawah kedua-dua jambatan termasuk zon penampan sejauh 250 meter di kiri dan kanan struktur jambatan yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan.

Menurutnya, mana-mana individu yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh.

“Penguatkuasaan berterusan amat penting bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan awam selain melindungi infrastruktur strategik negara,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti pencerobohan di bawah kedua-dua jambatan dikhuatiri boleh menjejaskan saluran kabel komunikasi milik Telekom Malaysia Berhad serta kabel elektrik voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad yang berada di bawah struktur jambatan.

“Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri bersama CGSO Pulau Pinang, LLM Wilayah Utara, JKSB, PLUS dan agensi keselamatan berkaitan kini sedang merangka prosedur operasi standard bagi mengawal selia sebarang aktiviti yang dijalankan berhampiran kedua-dua jambatan.

“Maritim Malaysia bersama agensi rakan strategik akan terus memperketatkan kawalan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan demi memastikan keselamatan perairan, melindungi infrastruktur strategik negara serta menjamin ketenteraman awam,” ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved