
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau merampas barangan kosmetik dan barang kawalan yang cuba diseludup ke negara jiran, pada Isnin lepas.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan itu dibuat selepas bot peronda menahan sebuah bot kargo tempatan di perairan Tawau sekitar jam 3.40 petang.
Menurutnya, pasukannya sedang menjalankan penugasan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur sebelum mengesan pergerakan mencurigakan bot kargo tersebut yang bergerak dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
“Pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati dua lelaki iaitu seorang juragan warga tempatan, 45, bersama seorang lelaki warga Indonesia, 35, sebagai pembantu juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot menemukan pelbagai barang kawalan berjadual iaitu 1,776 kilogram (kg) gula pasir, 867kg minyak masak paket, 375 liter minyak petrol serta enam tong gas yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shahrizan berkata, pemeriksaan itu turut membawa kepada penemuan sejumlah besar produk kosmetik pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Katanya, pemeriksaan ke atas dokumentasi mendapati juragan bot karga gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan dan produk kosmetik yang dibawa.
Menurutnya, bot dan muatan serta kedua-dua kru bot ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan, disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM115,000.
Mengulas lanjut, beliau berkata statistik tangkapan Zon Maritim Tawau terkini merekodkan 55 kes pelbagai kesalahan membabitkan 10 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak awal Januari 2022.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (Esszone).
Beliau meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
