
TAWAU: Markas Tentera Darat Malaysia (MK TD) merancang memindahkan Markas 13 Briged Infantri Malaysia (MK 13 Bgd Inf) yang selama ini beroperasi di Kem Cenderawasih Lahad Datu dari 2019 ke Tawau atas faktor kesesuaian taktikal dan strategik.
Bekas Panglima 13 Briged Infantri Malaysia (13 Briged) Datuk Jagjit Singh Indar Singh berkata berdasarkan rancangan MK TD, markas baharu itu akan ditempatkan di Kem Kukusan, Tawau yang akan dibina semula selepas pasukan 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) berpindah.
“Pada masa sama sepanjang tempoh kerja-kerja pembinaan semula Kem Kukusan berlangsung juga, MK 13 Bgd Inf akan beroperasi di Mid Valley Commercial Hub, Jalan Chong Thien Vun, Tawau sebagai lokasi sementara.
“Kem Kukusan akan dibina semula sebagai kem Tentera Darat (TD) yang baharu selepas pasukan 26 RAMD berpindah ke Kem Baharu TD Felda Sahabat yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2028”, katanya kepada media pada Selasa.
Jagjit berkata demikian semasa ditemui sempena majlis penghargaan bagi meraikan persaraan perkhidmatannya sebagai Panglima 13 Briged di Kem Kubota, Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD).
Menurutnya perbincangan dengan pihak kepimpinan sentiasa mengambil-kira usaha meningkatkan keupayaan 13 Briged sebagai sebuah formasi baharu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diletakkan di bawah naungan TD menerusi Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen) semenjak 2019.
Menjawab soalan pemberita berhubung kecemerlangan 13 Briged memastikan pertahanan Pantai Timur Sabah terus kebal tanpa sebarang insiden buruk termasuk penculikan untuk tebusan (KFR) di bawah kepimpinannya, beliau percaya pencapaian itu akan diteruskan kepimpinan baharu.
“Kita bersyukur dalam tempoh dua tahun terakhir ini tidak ada insiden-insiden yang buruk termasuk KFR berlaku apabila semuanya berada dalam kawalan dan tentera kami sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerakkan bagi mengawal Pantai Timur Sabah.
“Kita juga bersyukur atas pencapaian formasi ini walaupun usianya masih muda berbanding semua formasi TD yang ada, apabila hanya ditubuhkan susulan insiden Lahad Datu 2013 tetapi 13 Briged terbukti mampu berdiri sebagai satu ketumbukan tunggal yang berwibawa di barisan hadapan negara” katanya.
Beliau akui antara pencapaian yang membanggakannya juga termasuklah kejayaan mengatur gerak tiga batalion di bawah 13 Briged secara serentak merangkumi Batalion 7 RAMD, 26 RAMD dan Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan dalam Eksesais Gagah Perkasa pada tahun lepas.
Mengulas lanjut penyertaan 13 Briged dalam latihan trilateral peringkat antarabangsa yang diadakan TD Malaysia bersama TD Amerika Syarikat dan Angkatan Pertahanan Australia menerusi Eksesais Keris Strike pada Julai lepas turut membanggakan pihaknya.
Komitmen 13 Briged mengawal ketat pintu sempadan negara menerusi penggiliran anggota setiap dua bulan dalam Op Balasah yang dijalankan secara berterusan di bawah 5 Divisyen juga diyakininya akan terus menjadi penyumbang kestabilan keselamatan zon maritim di Pantai Timur Sabah.

