
ARAGON: Marc Marquez dan Marco Bezzecchi mencetuskan detik mencemaskan pada perlumbaan MotoGP Aragon apabila kedua-duanya hampir bersentuhan ketika bertarung merebut pendahuluan pada kelajuan mencecah 300 kilometer sejam (km/j).
Insiden pada pusingan keenam itu berlaku selepas Marquez memotong Bezzecchi dari bahagian dalam di selekoh ke-14, namun pelumba Aprilia tersebut kembali merapat selepas memperoleh laluan keluar selekoh yang lebih baik.
Ketika kedua-dua pelumba tersebut memecut di laluan lurus, motosikal mereka mula bergegar akibat turbulens aerodinamik dengan Bezzecchi berada di ruang sempit antara Marquez dan bahagian dalam trek.
Marquez mengakui situasi tersebut cukup mencemaskan, terutama apabila kedua-dua motosikal seakan-akan tertarik antara satu sama lain akibat kesan aerodinamik.
“Detik itu memang luar biasa. Maksud saya, ia agak menakutkan. Dengan semua aspek aerodinamik, pada kelajuan 300 km/j, motosikal kami seolah-olah ditarik antara satu sama lain.
“Saya cuba memberi ruang dan bergerak ke sebelah kanan, tetapi kami seolah-olah ‘melekat’.
“Jika dilihat pada rakaman ulangan, terdapat sedikit wheelie walaupun sudah berada di gear keenam. Mustahil untuk saya menjauhkan motosikal daripada motosikalnya,” katanya.
Marquez bagaimanapun menganggap insiden tersebut sebagai satu aksi menarik buat peminat sebelum Bezzecchi terpaksa mengalah sedikit kerana berada di bahagian trek yang kotor.
“Saya cuba memberi ruang, tetapi kami tidak dapat menjauhkan diri antara satu sama lain. Ia memang menakutkan, tetapi memberikan persembahan yang baik kepada peminat,” katanya.
Marquez menjuarai perlumbaan tersebut dan pelumba Ducati itu kini hanya ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin. – AGENSI
The post Marquez, Bezzecchi ‘melekat’ 300 km/j appeared first on Utusan Malaysia.
