
Jorge Martin terus mendedahkan sisi lain kehidupannya ketika bersama Pasukan Pramac Ducati dan kali ini pengakuannya mungkin lebih mengejutkan daripada kisah perebutan tempat ke pasukan kilang Ducati.
Juara dunia MotoGP 2024 itu mengakui beliau sengaja menyembunyikan prestasi sebenar dalam beberapa sesi latihan bagi mengelakkan data tunggangannya dianalisis oleh Francesco Bagnaia serta pasukan Ducati.
Menurut Martin, salah satu kelebihan terbesar Ducati ketika itu ialah mereka mempunyai lapan motosikal di atas grid. Semua pelumba boleh membandingkan data antara satu sama lain, termasuk setup, titik membrek, bukaan pendikit dan kelajuan di setiap sektor litar.
Namun bagi Martin, kelebihan itu juga boleh menjadi senjata yang memakan diri. Beliau mendedahkan bahawa dalam beberapa sesi latihan, dirinya hanya akan memaksa motosikal di sektor tertentu sebelum memperlahankan rentak di sektor lain. Strategi itu dilakukan supaya pesaing tidak dapat melihat satu pusingan lengkap yang benar-benar mewakili potensinya.
“Saya akan laju di sektor satu dan tiga, kemudian pada pusingan lain saya akan laju di sektor dua dan empat. Selepas itu kami gabungkan semuanya dalam pasukan,” jelas Martin.
Pendedahan ini menunjukkan betapa sengitnya persaingan dalaman dalam keluarga Ducati ketika itu. Walaupun berlumba di bawah payung yang sama, setiap pelumba sebenarnya bersaing untuk menjadi rujukan utama pengeluar Itali tersebut.
Ironinya, taktik “sorok data” itu akhirnya tidak menghalang Martin daripada mencipta sejarah apabila menjuarai MotoGP 2024 bersama Pramac. Kini bersama Aprilia untuk musim kedua pada 2026, beliau bebas daripada sistem perkongsian data besar Ducati, tetapi kenangan perang psikologi itu jelas masih segar dalam ingatannya. Kemana beliau tahun hadapan? Nantikan..
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Martin Dedah Taktik Rahsia: Sengaja Sorok Data Daripada Ducati Dan Pecco appeared first on TW Media.

