
SILVERSTONE: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Jorge Martin tidak memikirkan jurang mata dalam perebutan gelaran dunia musim ini kerana mahu fokus memperbaiki prestasi bersama jentera Aprilia.
Martin kini melebarkan kelebihan dalam kejuaraan kepada 31 mata selepas menamatkan Grand Prix (GP) Britain di tempat kedua, di belakang Raul Fernandez, kelmarin.
Pelumba Aprilia itu sebelum ini mengutip mata dalam perlumbaan pecut selain meraih petak pertama di Silverstone, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan.
Namun, Martin mengakui kedudukan mata bukan perkara yang menjadi keutamaannya pada ketika ini.
“Saya sebenarnya tidak kisah sama ada saya berada di tempat pertama, kedua atau apa sahaja. Saya hanya cuba untuk terus memperbaiki diri supaya mempunyai peluang untuk bersaing merebut kejuaraan pada penghujung musim. Bagi saya, itu sudah memadai,” katanya.
Martin berkata, pendekatan tersebut berbeza berbanding dua tahun lalu apabila dia terlalu terikat dengan keinginan untuk sentiasa berada di hadapan.
“Dua tahun lalu, saya terlalu obses untuk sentiasa berada di hadapan dan cuba memimpin. Tetapi sejujurnya, perkara itu menggunakan banyak tenaga.
“Sekarang saya hanya fokus untuk menjadi Jorge yang lebih baik. Akibatnya, kami melakukan perkara yang betul dan saya berada di kedudukan pendahulu,” katanya.
Juara dunia 2024 bersama Pramac Ducati itu turut menegaskan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan Aprilia untuk terus bersaing di kelompok hadapan.
Menurutnya, tumpuan utama adalah memastikan prestasi motosikal terus dipertingkatkan serta mengekalkan konsistensi sepanjang musim.
“Apa yang saya mahukan ialah terus memperbaiki prestasi motosikal saya.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap diri sendiri dan pasukan. Kadangkala jika kami kehilangan kelajuan atau hilang arah, itu kerana ada sesuatu yang tidak kena, bukannya kerana kami tidak bagus,” katanya.
Martin mengakui perlumbaan di Silverstone merupakan hujung minggu yang hampir sempurna buat Aprilia selepas dia berjaya menguasai sesi kelayakan dan pecut. – AGENSI
The post Martin tidak peduli kedudukan mata appeared first on Utusan Malaysia.
