
PETALING JAYA: Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim sanggup menolak tawaran lumayan sebuah syarikat yang mahu bekerjasama dengannya dalam mempromosikan produk intim.
Menurut Sarimah, tawaran itu bukan sahaja tidak bersesuaian, malah mampu menjejaskan imej dan namanya sebagai seorang wanita lebih-lebih lagi dirinya sudah berkeluarga.
“Dapat tawaran besar untuk buat kolaborasi. Tetapi perli buat content yang rasanya tidak sesuai untuk saya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu.
“Apa kejadahnya tiba-tiba mahu minta saya jadi muka produk-produk ‘intim’,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Selain menghormati keputusan suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, penyanyi lagu Kini Kau Tiada itu tidak berasa rugi menolak tawaran lumayan sedemikian demi menjaga maruah dan harga dirinya.
“Suami tadi terus kata tidak boleh kerana nanti semua orang punya imaginasi ada muka saya.
Sebagai seorang artis, memang cubaan and ujian, betul. Tapi maruah dan harga diri perlu nombor satu,” jelasnya.
Sarimah bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci syarakat yang menawarkannya pekerjaan sedemikian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap ketegasan aktres versatil itu dalam menjaga prinsip serta harga dirinya meskipun tawaran yang datang itu lumayan.
“Saya kagum dengan Che Puan kerana ini. Prinsip, moral, paling penting nama baik islam terjaga. Insya-Allah, ada rezeki yang lebih baik dan berkat untuk awak,” komen seorang peminatnya.
“Betul! Tidak semestinya bayaran tinggi perlu jual maruah. Saya sependapat dengan suami awak,” kata seorang netizen.
The post Maruah, harga diri nombor satu, Sarimah Ibrahim elak promosi produk ‘intim’ appeared first on Utusan Malaysia.
