
Ryzal Ibrahim Kongsi Detik Cemas Anak Tak Sedarkan Diri, Pecut Ke Hospital
Setiap ibu bapa pasti pernah melalui saat-saat yang membuatkan jantung seakan terhenti seketika apabila melihat anak mereka dalam keadaan tidak baik.
Lebih-lebih lagi ketika anak masih kecil dan belum mampu memberitahu apa yang mereka rasa. Ketika itulah perasaan risau, takut dan cemas datang serentak tanpa mampu dikawal.
Begitulah detik yang dilalui personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim dan isterinya, Maryam, apabila anak kedua mereka, Rian, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil.
"Gugur jantung kami..."
Menurut Ryzal, sejurus selepas terjatuh, Rian pada awalnya menangis dengan kuat sebelum tiba-tiba diam dan menutup mata seolah-olah sedang tidur.
Baca juga:
Lebih 10 Tahun Ikut Kursus Haji, Suri Rumah Syukur Jejak Tanah Suci
Lantunan Ayat Suci Al-Quran Bergema Di Majlis Konvokesyen Harvard
Cara Muat Turun Sijil Haji Secara Digital
Namun apa yang lebih membimbangkan, anak kecil itu langsung tidak memberikan sebarang respons.
"Gugur jantung kami melihat anak sendiri tak sedarkan diri lepas jatuh katil. Kuat dia menangis lepas tu diam dan tutup mata seolah tidur, tiada respon dan kita terus bawa ke Emergency," kongsinya.
Situasi itu membuatkan pasangan berkenaan tidak berlengah dan segera bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
"Sakitnya melihat isteri jerit nama anak..."
Menurut Ryzal, dia dan Maryam berusaha sedaya upaya untuk memastikan Rian tidak terlelap. Namun tubuh kecil anak mereka ketika itu langsung tidak memberikan tindak balas.
"Saya dan Maryam berusaha tak nak bagi Rian lelap sepanjang jalan ke Emergency tapi badan dia langsung tiada respon, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya," katanya.
Bayangkan perasaan seorang ibu apabila melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang berada dalam keadaan kaku tanpa sebarang reaksi.
"Ya Allah sakitnya melihat isteri jerit nama anak yang kami besarkan kaku, sungguh tiada kata dapat digambarkan," katanya.
Dalam keadaan itu, Ryzal mengakui mereka hanya mampu berharap kepada Allah SWT agar diberikan peluang untuk melihat anak mereka kembali sedar.
"Berharap, bergantung sepenuhnya kepada kuasa Allah S.W.T. supaya berikan kami peluang untuk melihat anak kami sedar," katanya lagi.
Bagaimanapun, pasangan itu akhirnya menarik nafas lega apabila Rian mula menunjukkan tindak balas sebaik sahaja mereka tiba di hospital.
Menurut Ryzal, anaknya mula membuka mata ketika berada di pintu masuk hospital.
"Sampai di pintu hospital, Rian mula buka mata dan kami terus minta doktor buat CT scan," kongsinya.
Video Maryam buat ramai hiba
Perkongsian tersebut turut disertakan dengan rakaman video yang memaparkan keadaan cemas dialami pasangan itu.
Dalam video berkenaan, Maryam dilihat berkali-kali menepuk dan memanggil nama Rian kerana tidak mahu anaknya terus tertidur.
Melihat reaksi seorang ibu yang panik dan ketakutan membuatkan ramai netizen turut hiba.
Ramai mengakui mereka dapat merasakan ketakutan yang dialami pasangan tersebut.
Netizen titip doa
Sehingga kini, Ryzal masih belum berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan Rian selepas menjalani pemeriksaan di hospital.
Sementara itu, ruangan komen dipenuhi dengan doa daripada para pengikut yang berharap Rian berada dalam keadaan baik.
Ramai mendoakan agar anak kecil itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan diberikan kesembuhan.





