MAS 2025: KINETA & Charge+ Meterai Kerjasama, Sasar Perluas Rangkaian Pengecas EV

LocalTechnology
9 May 2025 • 5:30 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Syarikat penyedia penyelesaian pengecas kenderaan elektrik (EV) tempatan, KINETA, mengumumkan kerjasama strategik bersama Charge+, salah satu syarikat pengendali titik pengecasan (CPO) EV terkemuka di Asia Tenggara. Kerjasama ini diumumkan secara rasmi di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) di MAEPS, Serdang.

Malaysia Jadi Tumpuan Awal

Melalui kerjasama ini, KINETA akan menyokong Charge+ dalam usaha untuk memperluaskan rangkaian pengecas EV di Malaysia, di samping merancang projek mega bukan sahaja di dalam negara tetapi juga membabitkan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Ini memberikan manfaat kepada pengguna kerana boleh mengakses kedua-dua rangkaian pengecasan melalui mana-mana aplikasi, sama ada KINETA atau Charge+, tanpa perlu bertukar platform.

Kineta Miliki Kepakaran Pemasangan Pengecas EV

Dengan pengalaman luas dalam pasaran domestik, KINETA mempunyai salah satu pasukan jurutera bertauliah terbesar di Malaysia. Syarikat ini telah menjual lebih 9,000 unit pengecas dan melaksanakan lebih 6,000 pemasangan di kediaman, komersial dan premis perniagaan.

Model perkhidmatan hujung ke hujung KINETA yang membabitkan pemasangan, penyelenggaraan serta sokongan selepas jualan, meningkatkan keyakinan dan memudahkan pemilik EV.

Charge+ Miliki Rangkaian Pengecas EV yang Luas

Charge+ yang berpangkalan di Singapura, kini mengendalikan lebih 3,000 pengecas EV di enam negara termasuk Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Indonesia. Syarikat ini menyasarkan untuk menyediakan sejumlah 30,000 pengecas menjelang tahun 2030, termasuk pembinaan lebuh raya pengecas DC sepanjang 5,000 km di Asia Tenggara.

Mudahkan Pemilikan EV

image is not available

Pengarah Urusan KINETA, Sunny Lee, berkata kerjasama ini bertujuan memudahkan lagi pemilikan EV di Malaysia.

“Kami teruja bekerjasama dengan Charge+ untuk menjadikan pengecasan EV lebih mudah diakses dan mesra pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Charge+, Goh Chee Kiong, berkata kedudukan KINETA yang kukuh di pasaran tempatan membolehkan mereka menawarkan pilihan pengecasan yang lebih diyakini rakyat Malaysia.

Masa Yang Tepat, Pasaran EV Kian Berkembang

Dengan unjuran jualan EV di Malaysia dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2030, kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting untuk membina ekosistem EV yang mampan dan saling berhubung di rantau ini.