
MENJADI destinasi pilihan buat penggemar basikal berkumpul sambil menikmati hidangan, The Cranky Beans di Taman Melawati, Selangor tidak hanya menawarkan sajian Barat tetapi turut menyediakan aneka pilihan masakan Melayu.
Di sebalik konsep rekaan dalaman premis berinspirasikan gaya industri dan estetik, kafe yang telah tiga tahun beroperasi itu mengetengahkan hidangan istimewa nasi masak lemak daging salai yang menggunakan daging salai asli dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut Pengurus Kafe The Cranky Beans, Ahmad Saifullah Abdul Hissam, pemilik kafe tersebut yang merupakan peminat aktiviti berbasikal juga berasal dari Negeri Sembilan telah menjadi inspirasi untuk memperkenalkan cita rasa negeri itu kepada pelanggan dan menjadi tarikan utama.

Minat terhadap dunia berbasikal turut diterjemahkan dalam konsep dekorasi kedai apabila pemilik menggantung sebuah basikal antik di bahagian tengah premis sebagai tarikan utama dan simbol identiti kafe.
“Dari segi sajian, awalnya kafe memberi fokus kepada hidangan Barat seperti grilled lamb chop, fish n chips, chicken parmigiana, chicken chop dan pelbagai pilihan pasta.
“Atas permintaan pelanggan, kami kemudian memperkenalkan menu baharu dengan menampilkan masakan Melayu yang sesuai dengan cita rasa warga setempat iaitu nasi masak lemak daging salai.
“Dianggarkan pesanan daging salai ini sekitar 10 hingga 12 kilogram sebulan atau dua minggu dan bergantung kepada permintaan kerana menu ini sering menjadi pilihan pelanggan setiap kali ke kafe,” katanya kepada CitaRasa ketika ditemui di Jalan Bandar 3, Taman Melawati baru-baru ini.

Tambah Ahmad Saifullah, pemilik kafe turut merancang untuk menambah menu itik salai pada masa hadapan bergantung kepada sambutan menu nasi masak lemak daging salai yang baru diperkenalkan sekitar awal tahun ini.
Katanya, kafe turut menawarkan tiga pilihan menu set iaitu nasi ayam belado, nasi ayam sambal hijau dan nasi ayam berempah yang dihidangkan bersama minuman.
“Bagi pilihan hidangan tengah hari, pelanggan boleh memilih antara tiga menu yang turut akan dihidang bersama air sirap. Ini antara salah satu tarikan kami buat pelanggan yang bekerja di kawasan sekitar sekali gus menikmati rasa autentik pada harga berpatutan.
“Keistimewaan hidangan kami terletak pada penggunaan potongan isi ayam ala chicken chop berbanding ketulan ayam goreng biasa bagi memberikan kelainan kepada pelanggan,” katanya.
Terdapat juga beberapa menu lain yang turut mendapat perhatian antaranya fried mantao spicy creamy tom yam mussel, keropok lekor, chocolate milkshake dan ice peach tea.
Sasaran utama kafe ialah golongan yang sudah berkeluarga dan bekerja. Ini kerana waktu operasinya yang dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat dari waktu tengah hari hingga tengah malam sekali gus memenuhi keperluan pelanggan yang kebiasaannya datang selepas waktu bekerja terutama sekitar pukul 8 malam ke atas.
Sementara itu, pada hujung minggu waktu operasi bermula seawal pukul 9 pagi sehinggalah 1 pagi bagi memberi lebih banyak ruang buat pelanggan yang ingin menikmati makanan dalam suasana santai bersama keluarga dan rakan-rakan.
The post Masak lemak daging salai istimewa di ‘kafe basikal’ appeared first on Kosmo Digital.
