Masalah gangguan liputan internet di lebuh raya bakal berakhir dengan pembinaan 77 menara telekomunikasi

LocalTechnology
31 Jul 2026 • 4:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Masalah gangguan liputan internet di lebuh raya bakal berakhir dengan pembinaan 77 menara telekomunikasi Image from: Masalah gangguan liputan internet di lebuh raya bakal berakhir dengan pembinaan 77 menara telekomunikasi liza31/07/2026 - 16:29 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai – Masalah kawasan tanpa liputan rangkaian mudah alih di beberapa lebuh raya utama negara dijangka berakhir apabila kerajaan merancang membina 77 menara telekomunikasi di lokasi yang dikenal pasti mengalami capaian komunikasi lemah.

 

Inisiatif itu melibatkan kira-kira 50 kilometer jajaran lebuh raya yang sering berdepan gangguan liputan telefon dan internet, sekali gus menyukarkan pengguna untuk membuat panggilan, melayari internet atau menghubungi perkhidmatan kecemasan ketika dalam perjalanan.

 

Pembinaan menara tersebut akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan memanfaatkan rizab tanah lebuh raya atau Hak Laluan (Right of Way), sekali gus membolehkan projek dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.

 

Usaha berkenaan dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pembangunan infrastruktur komunikasi di sepanjang rangkaian lebuh raya negara.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penyediaan infrastruktur baharu itu bukan sekadar meningkatkan liputan telekomunikasi, malah memberi nilai tambah kepada aspek keselamatan pengguna lebuh raya.

 

Tumpuan Kepada Lokasi Yang Sering Hilang Isyarat

Menurut beliau, beberapa laluan yang dikenal pasti mempunyai masalah liputan akan diberi keutamaan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Pantai Barat (WCE) serta kawasan Terowong Menora dan Gua Tempurung di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

 

Kawasan berkenaan sering menjadi lokasi berlakunya gangguan isyarat sehingga menyebabkan panggilan telefon terputus dan capaian internet tidak stabil, khususnya di kawasan berbukit atau berbatu kapur.

 

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC telah memulakan proses pelaksanaan projek berkenaan selepas tender pembinaan menara telekomunikasi dikeluarkan pada 15 Mei lalu.

 

Beliau berkata, projek itu melibatkan 10 lebuh raya di bawah seliaan LLM yang dikenal pasti mempunyai tahap liputan komunikasi yang masih tidak memuaskan.

 

Katanya, apabila siap kelak, pengguna dijangka menikmati sambungan rangkaian yang lebih konsisten sepanjang perjalanan tanpa perlu berdepan masalah kehilangan isyarat di lokasi tertentu.

 

Sokong Teknologi Lebuh Raya Masa Depan

Selain meningkatkan kemudahan kepada pengguna, projek itu juga dilihat sebagai persediaan kerajaan membangunkan ekosistem lebuh raya yang lebih pintar dan berasaskan teknologi digital.

 

Fahmi berkata, rangkaian telekomunikasi yang kukuh merupakan antara prasyarat utama bagi membolehkan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi-Lane Fast Flow, MLFF) berjalan lancar pada masa hadapan.

 

Di samping itu, Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System, ITS) turut memerlukan sambungan komunikasi yang stabil bagi membolehkan pertukaran data, pemantauan trafik dan operasi lebuh raya dijalankan secara masa nyata.

 

Beliau berkata, penambahbaikan liputan rangkaian turut memberi manfaat kepada pengguna yang bergantung kepada aplikasi navigasi, maklumat trafik secara langsung serta komunikasi ketika berlaku kecemasan di jalan raya.

 

Kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kerja Raya itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh infrastruktur digital negara agar seiring dengan pembangunan sistem pengangkutan moden, selain memastikan perjalanan pengguna lebuh raya menjadi lebih selamat, lancar dan berhubung pada setiap masa. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved