Anekdot Mawarith13/05/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Saya antara orang lama dalam industri perancangan harta secara syariah dan pengurusan harta pusaka orang Islam di Malaysia.
Saya mula terlibat dalam industri ini sejak 1998 dan secara langsung atau tidak langsung, saya tidak pernah meninggalkannya sehingga hari ini.
Alhamdulillah, Allah merezekikan saya untuk bertahan hampir 28 tahun bekerja dalam bidang ini. Wasiyyah sendiri sudah berusia 22 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, saya melihat sendiri bagaimana industri ini berkembang dan berubah.

Di mana industri ini bermula
Ketika saya mula berkecimpung 28 tahun lalu, masyarakat langsung tidak memahami mengapa mereka perlu merancang harta mengikut kaedah syariah.
Malah, hukum faraid itu sendiri tidak difahami. Ramai yang mengatakan kepada saya bahawa tidak perlu memikirkan soal harta pusaka kerana hukum faraid sudah tersedia. “Ikut sahaja,” kata mereka.
Namun apabila saya bertanya semula apakah itu hukum faraid dan adakah mereka memahami pembahagian harta pusaka mengikut hukum tersebut, ramai yang terkebil-kebil dan termangu. Maknanya, mereka tahu hukum faraid itu wujud tetapi tidak benar-benar memahaminya.
Analoginya seperti hukum solat. Kita tahu hukumnya wajib dan kita taat melaksanakannya, tetapi tidak mengetahui secara jelas rukun-rukun solat, makna bacaan dalam solat serta kaitannya dengan kehidupan di dunia dan akhirat. Buat, tetapi tidak faham.
Saya bermusafir ke seluruh Malaysia dengan perbelanjaan dan usaha sendiri selama bertahun-tahun untuk mendidik masyarakat mengenai hukum faraid. Di masjid dan surau pun, ilmu ini jarang dikongsikan.
Apabila ditanya apakah hasil usaha keras saya ketika itu dan bagaimana pula pulangan kewangannya, saya hanya mampu menjawab bahawa sepanjang lima tahun pertama melakukan kerja ini, apa yang saya keluarkan langsung tidak setimpal dengan apa yang saya terima.
Jadi, mengapa saya terus berada dalam bidang ini sedangkan hasil kewangannya tidak berbaloi dengan segala penat lelah dan modal yang dikorbankan? Jawapan saya mudah. Saya merasakan ketenangan hati yang tidak pernah saya rasai ketika bekerja dalam sektor kewangan lain sebelum ini.
Saya memahami bahawa apa yang saya lakukan ialah ibadah fardu kifayah dan ganjaran terbesar ialah usaha untuk memperoleh keredaan Allah SWT.
Didik masyarakat terlebih dahulu
Sejak dahulu, saya memahami bahawa strategi paling ampuh ialah mendidik masyarakat mengenai kefahaman faraid dan persoalan hukum berkaitan harta pusaka terlebih dahulu sebelum menerangkan kedudukan wasiat dan hibah.
Ketika itu, hanya saya dan beberapa rakan lain yang aktif turun padang membicarakan topik ini. Dalam kalangan kami pula, hanya saya seorang yang bergerak secara “self-funded”, iaitu menanggung sendiri semua kos aktiviti kerana rakan-rakan lain bekerja makan gaji dengan agensi kerajaan berkaitan urusan harta pusaka atau syarikat amanah lain.
Setakat pengetahuan saya, sehingga hari ini hanya tinggal saya dan seorang lagi rakan yang masih aktif. Yang lain sama ada sudah bersara sepenuhnya atau telah meninggal dunia.
Alhamdulillah, selepas 28 tahun, saya melihat kefahaman masyarakat mengenai hukum faraid jauh lebih baik. Jika dahulu hanya saya dan beberapa rakan yang aktif berkongsi mengenai hukum faraid, hari ini terdapat ratusan malah mungkin ribuan asatizah, individu dan syarikat yang mula mengajar hukum faraid serta perihal harta pusaka di masjid, surau, pejabat dan dalam masyarakat umum.
Saya amat bersyukur dengan perkembangan ini kerana kewujudan pihak-pihak tersebut menunjukkan bahawa kesedaran dan permintaan masyarakat semakin meningkat. Kuasa pasaran sentiasa tepat — di mana ada permintaan, di situ ada penawaran.
Pendekatan, pengetahuan dan pengalaman yang berbeza
Apabila semakin ramai pihak terlibat dalam industri ini, saya turut melihat perkembangan yang kurang sihat dari sudut persaingan.
Hakikatnya, siapa pun kita atau apa juga organisasi yang kita wakili, objektif semua pemain industri adalah sama, iaitu membantu umat Islam merancang harta dengan baik dan menguruskan harta pusaka secara cekap supaya waris dapat menerima hak mereka dengan cepat dan teratur.
Namun kerana semua pemain datang daripada latar belakang, tahap pengetahuan, pendekatan dan pengalaman yang berbeza, timbul kecenderungan sesetengah pihak mengatakan bahawa apa yang dilakukan pihak lain adalah tidak betul, malah lebih buruk lagi, tidak patuh syariah.
Wasiyyah sendiri pernah berdepan pengalaman seperti ini.
Wasiyyah kerap dituduh merampas pasaran pihak lain secara tidak beretika, malah dituduh memanipulasi hukum syarak semata-mata untuk mencari keuntungan.
Seolah-olah pihak yang menuduh itu bergerak dalam industri ini secara percuma dan langsung tidak mengenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan mereka. Seolah-olah mereka juga turun berceramah ke seluruh Malaysia dengan modal sendiri seperti yang saya lakukan 28 tahun lalu tanpa menerima sebarang imbuhan.
Menjawab tuduhan tersebut, saya menjelaskan bahawa perkhidmatan Wasiyyah berteraskan penyelidikan ilmiah yang merentas pelbagai pandangan dalam Ahli Sunnah Waljamaah, melangkaui sempadan geografi dan selari dengan peruntukan undang-undang syariah di Malaysia.
Panel syariah kami yang terdiri daripada enam orang bertanggungjawab memastikan segala yang dilakukan Wasiyyah benar-benar mematuhi syariah.

Lembaga pengarah kami yang terdiri daripada sembilan orang pula bertanggungjawab memastikan standard tadbir urus korporat Wasiyyah setanding syarikat senaraian awam (PLC).
Audit kewangan kami juga diterima audit luar tanpa sebarang teguran sejak empat tahun lalu, sekali gus membuktikan pematuhan terhadap semua peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Sampai masa untuk industri bergerak bersama
Sebagai orang lama dalam industri ini, cita-cita saya kini adalah untuk menyatukan semua pemain industri agar bergerak ke arah yang sama. Kita mungkin mempunyai pendekatan berbeza, namun matlamat kita tetap serupa.
Tidak perlu saling menuding jari antara satu sama lain tentang siapa lebih hebat atau lebih berpengetahuan.
Semua pihak mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Apa sahaja yang dilakukan pasti mempunyai justifikasi tersendiri dan kita perlu menerima hakikat tersebut.
Fokuskan usaha dan tenaga untuk membina kekuatan serta memperbaiki kelemahan supaya manfaat perkhidmatan dapat dinikmati masyarakat secara maksimum.
Masalah harta pusaka orang Islam semakin lama semakin parah. Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, saya percaya lebih bijak untuk semua pemain industri menggembeleng segala sumber terhad yang ada.
Wasiyyah terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam industri ini. Insya-Allah, sentiasa ada ruang untuk diterokai bersama. - DagangNews.com


