Masalah Perut Berulang Punca Najib Masuk Hospital - Anak

Politics
5 Sep 2022 • 8:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Najib Razak - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengalami sakit perut ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang, sehingga menyebabkan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan semalam.

Perkara itu disahkan anaknya, Nooryana Najwa yang memaklumkan, Najib sememangnya sering mengalami masalah perut berulang.

image is not available
Nooryana Najwa Najib - Gambar fail

“Daddy (Najib) sangat terdedah kepada ulser perut yang boleh berlaku di bawah tekanan atau disebabkan gastrik.

“Kali terakhir daddy kena ulser perut tahun lepas, sehingga pengsan akibat pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu untuk rawatan susulan,” katanya menerusi InstaStory miliknya, hari ini

image is not available

Menurut Nooryana, Najib bukan seorang yang gemar mengadu mengenai kesakitan dialaminya kerana tidak mahu menyusahkan orang lain, sehingga sanggup menanggungnya sendiri.

Tambahnya, dia dan keluarga berharap bapanya menerima rawatan sebaiknya bagi memastikan tahap kesihatan Najib kembali pulih.

“Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan dan rawatan dengan kerap jika diperlukan pihak penjara dan hospital.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kekuatan Daddy.

“Tolong jagakan Daddy kami dan Bossku. Dia amat bermakna buat kami,” katanya.

Semalam, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi dilaporkan berkata, Ahli Parlimen Pekan itu dimasukkan ke HKL, namun stabil dan melalui semua pemeriksaan kesihatan serta rawatan diperlukan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib, membabitkan kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. - Getaran, 5 September 2022.