Masih ramai lakukan kesalahan halang lalu lintas

23 Sep 2023 • 10:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara kesalahan halangan lalu lintas yang dikesan JSPT Kuala Lumpur dalam Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya fasa dua di ibu negara pada Jumaat.

image is not available
Kesalahan halangan lalu lintas merekodkan jumlah tertinggi pada hari kelapan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya fasa dua di ibu negara.

image is not available
Statistik pada Jumaat merekodkan 6,073 saman atas pelbagai kesalahan.

KUALA LUMPUR - Kesalahan halangan lalu lintas terus merekodkan jumlah tertinggi pada hari kelapan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya fasa dua di ibu negara sejak pelaksanaannya pada 15 September lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, statistik pada Jumaat merekodkan 6,073 saman atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, mengikut pecahan, kesalahan bagi halangan lalu lintas adalah yang paling tinggi iaitu 5,044 kes.

"Selebihnya ialah kesalahan tiada lesen memandu (137), tidak patuh peraturan lampu isyarat (52), nombor plat (61) dan lain-lain kesalahan (778).

"Tindakan saman ini hasil pelaksanaan 23 operasi di sekitar Kuala Lumpur," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, sepanjang operasi ini, JSPT Kuala Lumpur turut bertindak menahan 14 individu atas pelbagai kesalahan seperti kes dadah dan mabuk selain sitaan satu motosikal.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilapor berkata, operasi fasa kedua akan tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut bermula 15 hingga 29 September.

Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

Untuk info, JSPT Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 157,000 saman sepanjang tempoh pelaksanaan Operasi Fasa 1 bermula 1 hingga 31 Julai lalu.