
SANDAKAN: Rakyat Sabah digalakkan untuk mengambil tahu tentang pelan insurans kemalangan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada menerima manfaat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin, berkata pelan itu mula berkuat kuasa sejak 1 Mei lepas, namun masih ramai yang tidak mengetahui kewujudannya.
“Pelan ini sangat penting, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka tidak perlu membayar apa-apa, namun tetap dilindungi,” katanya selepas melawat pejabat cawangan Sandakan Progressive Insurance Bhd, syarikat insurans yang dilantik untuk menguruskan skim berkenaan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});George turut mendapatkan penjelasan mengenai proses permohonan dan tuntutan bagi membantu memudahkan urusan waris yang layak membuat tuntutan.
Pelan terbabit meliputi semua penduduk tempatan Sabah berumur antara satu bulan hingga 80 tahun, dengan jumlah pampasan maksimum RM10,000 bagi kes kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.
Ia turut menyediakan bayaran sagu hati pengebumian sebanyak RM500.
Skim ini akan berlangsung selama tiga tahun sehingga 30 April 2028.
Pembayaran pampasan sepatutnya dibuat seawal 14 hari dan tidak lewat daripada 30 hari selepas semua dokumen lengkap dikemukakan.
George berkata pasukan perkhidmatannya baru-baru ini menerima beberapa kes yang menunjukkan waris mangsa tidak mengetahui bahawa mereka layak untuk membuat tuntutan.
Oleh itu, waris atau individu yang layak boleh hadir ke pejabat Progressive Insurance Bhd di sini bersama dokumen lengkap seperti laporan polis atau sijil kematian untuk membuat permohonan sewajarnya.

